AM

ATIGA PACU PEMBANGUNAN SERANTAU, PERKUKUH KUASA TAWAR-MENAWAR ASEAN DI ARENA GLOBAL

23/10/2025 10:15 AM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 23 Okt  (Bernama) -- Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang dipertingkat dijangka akan mempercepat kemunculan Asia Tenggara sebagai enjin pertumbuhan serantau yang mandiri dan bersatu, kata seorang ahli ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Global Juwai IQI Shan Saeed berkata perjanjian itu sekali gus berpotensi meningkatkan kuasa tawar-menawar ASEAN di pentas global apabila berunding dengan kuasa ekonomi besar.

Menerusi ATIGA, kata beliau, ekonomi ASEAN akan diperkukuh melalui penyelarasan dasar tarif dan bukan tarif, mengurangkan ketidakseragaman peraturan, penyeragaman piawaian serta mengetatkan peraturan asal-usul barangan bagi melindungi integriti rantaian nilai serantau.

“ATIGA sebagai perjanjian perdagangan bebas yang diperluas memberikan peluang strategik kepada negara anggota untuk meletakkan rantau ini sebagai pusat pertumbuhan bernilai tinggi pada masa depan.

“Blok ini kini memasuki era penyatuan, bukan sekadar gabungan ekonomi, tetapi sebagai satu enjin pertumbuhan serantau yang lebih bersepadu, menjelang pengesahan rasmi ATIGA yang dipertingkat pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan datang,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual hari ini.

Beliau menjelaskan, ASEAN kini telah meliberalisasikan sekitar 98 peratus daripada garis tarif di bawah jadual ATIGA sebelum ini, dengan baki kurang daripada 0.6 peratus melibatkan barangan yang masih dikenakan duti import di Malaysia.

ATIGA turut berhasrat memperkukuh infrastruktur perdagangan digital dan kastam serantau menerusi pelaksanaan Sistem Transit Kastam ASEAN (ACTS). Dengan versi perjanjian yang ditambah baik ini, penghantaran rentas sempadan antara negara anggota akan menjadi lebih cekap dan telus, jelasnya.

Menurut beliau lagi, perjanjian ini juga berpotensi memperluas penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mempertingkat kepadatan rantaian nilai, khususnya di negara anggota yang tahap integrasinya masih rendah.

“Dari semasa ke semasa, perdagangan intra-ASEAN yang kini menyumbang antara 20 hingga 22 peratus daripada jumlah perdagangan keseluruhan dijangka akan berkembang dengan lebih pesat,” katanya.

Beliau berkata protokol baharu di bawah ATIGA juga akan mengurangkan beban pematuhan serta membuka akses yang lebih luas kepada peranan dalam rantaian bekalan global.

“Secara keseluruhannya, perubahan ini akan mengubah ASEAN daripada sekumpulan pasaran yang terpecah-pecah kepada rangkaian pengeluaran dan penggunaan tunggal yang lebih padu, terutamanya dalam sektor yang berkaitan dengan pertumbuhan hijau, elektronik dan sistem makanan,” katanya.

Perjanjian yang dipertingkatkan ini juga akan menjadikan ASEAN lebih berdikari dan berdaya tahan terhadap cabaran luar, khususnya dalam menghadapi persaingan geopolitik antara Amerika Syarikat dan China yang sering memberi tekanan ke atas rantau ini dan menjadikannya hanya sebagai sekadar laluan strategik untuk kepentingan kedua-dua kuasa besar tersebut.

Melalui ATIGA, negara anggota kini bercakap dalam satu kerangka perdagangan yang seragam, tidak lagi terpecah-pecah, sekali gus meningkatkan kuasa rundingan dengan kuasa luar, kata beliau.

“Dengan itu, ASEAN dapat berinteraksi dengan China dan Amerika Syarikat secara lebih seimbang, mengurangkan risiko untuk terseret sepenuhnya ke dalam pengaruh satu blok sahaja.

“Memandangkan China memperluas perjanjian perdagangan bebas (FTA) 3.0 (termasuk bab digital dan hijau), persepaduan dalaman ASEAN memastikan rantau ini menetapkan terma integrasi rantaian bekalannya sendiri, bukan menjadi pelengkap yang pasif,” katanya.

Saeed berkata cabaran global, dasar monetari yang semakin ketat, kejutan bekalan dan pergeseran perdagangan menjadikan ATIGA yang dipertingkatkan adalah lebih daripada sekadar simbolik kerana perjanjian itu memperkukuh penampan dalaman.

“Apabila permintaan luar melemah, perdagangan intra-ASEAN yang lebih kukuh memberi sokongan penstabilan.

“Blok yang sehaluan membolehkan tindak balas dasar yang terselaras dan perkongsian risiko. Kebergantungan ekonomi dalam lingkungan ASEAN mengurangkan kerentanan yang berkait dengan pergantungan keterlaluan kepada pasaran luar,” katanya.

Saeed berkata Malaysia berpotensi meraih manfaat besar daripada peningkatan ATIGA melalui pengukuhan perdagangan dan kesalinghubungan.

ASEAN menjadi rakan dagang terbesar Malaysia dengan membentuk 30 peratus daripada eksport dan 24 peratus import bagi tempoh Januari hingga Julai 2024.

Dalam beberapa tahun lepas, eksport ke ASEAN menyumbang 29.2 peratus bahagian, dipacu terutama oleh sektor elektrik dan elektronik (E&E), petroleum, jentera dan alat ganti.

“Malaysia merupakan pusat utama global bagi pembuatan semikonduktor dan elektronik.

“Mengikut peraturan tempasal ATIGA yang dipertingkatkan serta aliran bekalan intra-ASEAN, kilang pembuatan mikrocip dan pembuat komponen Malaysia boleh memperkukuh integrasi dengan Vietnam, Thailand, Filipina dan Indonesia,” katanya.

Beliau berkata menerusi kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia, negara dijangka mencapai Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) seperti Perjanjian Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) dan ATIGA yang dipertingkatkan.

“Malaysia secara terbuka menyokong peningkatan ATIGA sebagai instrumen utama untuk memanfaatkan perdagangan, mengurangkan pergeseran dan memperkasakan semua segmen (termasuk perusahan kecil dan sederhana).

“Apabila struktur perdagangan ASEAN menjadi teguh, peranan Malaysia sebagai pemudah cara konsensus dan pengukuh serantau akan memperluas pengaruh geopolitiknya,” katanya.

Negara anggota ASEAN dijangka memeterai ATIGA yang dipertingkatkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadualkan berlangsung pada 26 hingga 28 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempengerusikan sidang kemuncak itu yang mengangkat tema Keterangkuman dan Kemampanan.

Mesyuarat persediaan melibatkan kalangan pegawai kanan dijadualkan bermula pada 23 Oktober, diikuti dengan perbincangan peringkat menteri sebelum berlangsungnya sidang kemuncak dari 26 hingga 28 Oktober.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan