AM

SEGARKAN SEMULA INSTITUSI DITERAJUI ASEAN UNTUK REDAKAN KETEGANGAN SERANTAU DAN GLOBAL

22/10/2025 05:26 PM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin & Mikhail Raj Abdullah

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Seorang profesor hubungan antarabangsa dari Jepun menyeru supaya institusi yang diterajui  ASEAN disegarkan semula bagi membantu meredakan ketegangan yang berpunca daripada persaingan kuasa besar dan pertikaian wilayah, dengan menegaskan bahawa usaha sedemikian penting bagi menstabilkan keseimbangan kuasa di rantau ini.

Profesor Takeshi Yuzawa dari Universiti Hosei berkata rangka kerja seperti Forum Serantau ASEAN (ARF), Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Campur (ADMM-Campur) dan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) kekal penting kerana ia menghimpunkan semua kuasa besar untuk berdialog dan bekerjasama.

Beliau menegaskan bahawa konsep Indo-Pasifik Bebas dan Terbuka (FOIP) Jepun serta Pandangan ASEAN terhadap Indo-Pasifik (AOIP) adalah rangka kerja saling mengukuhkan yang mempromosikan keterbukaan, ketelusan dan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa.

Beliau berkata prinsip-prinsip ini amat penting ketika ketegangan geopolitik semakin meningkat di rantau Indo-Pasifik, dengan perpaduan ASEAN serta kerjasama lebih erat dengan Jepun dapat membantu memelihara keamanan, keselamatan dan kestabilan ekonomi.

Baca lagi pandangan Yuzawa mengenai peranan serantau ASEAN yang kian berkembang dalam satu temu bual baru-baru ini dengan BERNAMA

 

FOIP dan AOIP sebagai Prinsip Panduan

Menurut Yuzawa, institusi serantau dan anggotanya perlu melibat urus dialog serta berpegang kepada prinsip keterbukaan, ketelusan dan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa yang terkandung dalam FOIP Jepun dan AOIP, di samping menggalakkan keamanan serta kestabilan menerusi pertumbuhan ekonomi.

Beliau merujuk kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang akan dianjurkan oleh Malaysia minggu ini sebagai peluang penting bagi negara-negara memperkukuh pelaksanaan FOIP dan AOIP dalam hubungan diplomatik antarabangsa.

Beliau berkata kedua-dua konsep itu merupakan rangka kerja saling melengkapi bagi mengukuhkan orde serantau dan antarabangsa berasaskan peraturan - sesuatu yang amat penting di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang semakin meningkat.

Menurut satu tinjauan yang dijalankan tahun ini oleh pusat penyelidikan serantau terkemuka dalam bidang sosiopolitik, keselamatan dan trend ekonomi, Jepun kekal sebagai negara paling dipercayai dalam kalangan kuasa besar termasuk Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU), China dan India.

 

Menghidupkan Semula Institusi Diterajui ASEAN

Yuzawa berkata antara institusi diterajui ASEAN yang perlu disegarkan semula ialah ARF, ADMM-Campur dan EAS.

“Ini satu-satunya rangka kerja serantau yang menghimpunkan semua kuasa besar,” katanya.

Kuasa-kuasa besar seperti AS, Rusia dan China dijangka menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang akan dihoskan Malaysia.

Yuzawa, daripada Fakulti Pengajian Global dan Antara Disiplin Universiti Hosei, berkata keperluan menyegarkan semula institusi ini semakin penting kerana rantau Indo-Pasifik -- yang terdiri daripada Asia Timur, Asia Tenggara, Asia Selatan dan Oceania - kini berdepan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat.

Sebagai sebahagian penting rantau ini, Jepun mempertingkat kerjasama keselamatan dengan ASEAN agar Indo-Pasifik tidak tergelincir ke arah ketidaktentuan dan ketidakstabilan yang lebih serius.

 

Pertikaian Maritim dan Keselamatan Serantau

Beliau berkata perkara ini amat penting memandangkan insiden-insiden tidak diingini baru-baru ini, termasuk pergeseran maritim antara China dan Filipina, konflik bersenjata antara Kemboja dan Thailand pada Julai lepas, serta konflik ketenteraan antara India dan Pakistan pada Mei yang berlarutan selama empat hari.

Menurut Yuzawa, peningkatan pertikaian wilayah di Laut China Selatan menjadi pendorong utama kepada kerjasama keselamatan Jepun-ASEAN.

Jepun melihat insiden sedemikian sebagai cabaran serius terhadap keselamatannya kerana dibimbangi boleh mengganggu laluan komunikasi laut serantau, merebak hingga ke Laut China Timur dan menjejas  orde maritim berasaskan peraturan seperti yang termaktub dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).

 

Suara ASEAN yang Bersatu dan Tindakan Kolektif

Beliau berkata tidak dapat dinafikan bahawa negara-negara kecil sering berasa terancam oleh penggunaan kuasa ketenteraan atau ekonomi oleh negara besar.

Dalam menghadapi ketegangan sedemikian, Yuzawa menekankan bahawa negara-negara Asia Tenggara dan rakan dialog mereka perlu menangani isu ini dengan berpaksikan prinsip keamanan dan kestabilan seperti yang diilhamkan menerusi FOIP dan AOIP.

Selain itu, beliau berkata ASEAN perlu tampil dengan pendirian yang lebih bersatu dan  kolektif dan melontarkan kritikan terhadap tindakan yang menjejaskan undang-undang antarabangsa sedia ada di Indo-Pasifik.

“Nasib rantau ini tidak hanya bergantung kepada dasar AS dan China, tetapi juga pada keupayaan negara-negara serantau lain untuk bertindak secara kolektif untuk bertahan atau mengelak ‘beberapa kitaran krisis yang mengganggu kestabilan’ akibat persaingan kuasa besar,” kata Yuzawa.

 

Memperkukuh Keupayaan dan Kerjasama

Beliau berkata Jepun dan ASEAN perlu berusaha menggunakan sumber terhad mereka secara strategik bagi meningkatkan keupayaan pencegahan tidak seimbang untuk menangkis tindakan ketenteraan bersifat paksaan dan sekali gus menyumbang kepada satu keseimbangan kuasa serantau yang stabil.

Beliau berkata Jepun juga perlu meningkatkan pembiayaan  bagi Bantuan Keselamatan Rasmi (OSA) serta menggunakan inisiatif pemindahan pertahanan dengan lebih aktif dan fleksibel.

“Bagi negara-negara ASEAN, ini bukan soal memilih antara AS, Jepun atau China, tetapi mengenai melindungi autonomi mereka sendiri dan lebih luas lagi, membentuk orde serantau yang lebih memihak kepada negara-negara kecil,” katanya.

 

Meluaskan Kerjasama Keselamatan dan Pertahanan

Pada masa ini, Jepun dan ASEAN bekerjasama dalam hampir semua bidang keselamatan utama, termasuk latihan pertahanan tradisional, keselamatan maritim, pembinaan kapasiti pengawal pantai serta keselamatan bukan tradisional seperti bantuan bencana dan keselamatan siber.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, Jepun telah menyumbangkan dua kapal peronda luar pesisir, tujuh bot penyelamat dan 14 kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) atau dron kepada Angkatan Tentera Malaysia.

 

Menyokong Pemusatan ASEAN

Yuzawa berkata FOIP Jepun menekankan kepentingan sifat keterangkuman dan menyokong Pemusatan ASEAN, manakala bidang keutamaan AOIP seperti kerjasama maritim, kesalinghubungan, pembangunan mampan dan kerjasama ekonomi adalah antara aspek yang telah diberi tumpuan kuat oleh Tokyo.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan