Oleh Kuvineshwaren a/l Nedunjelian
KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Kehadiran pemimpin kuasa besar dunia di ibu negara hujung bulan ini menjadikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bukan sekadar forum serantau, sebaliknya medan strategik yang menyerlahkan kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dalam memperkukuh peranan blok itu sebagai suara berpengaruh di pentas global.
Felow Majlis Profesor Negara Prof Dr Azmi Hassan berkata penyertaan pemimpin utama dunia yang dijangka hadir seperti Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov serta Perdana Menteri China Li Qiang menjadikan sidang kali ini signifikan, mencerminkan keyakinan kuasa besar terhadap Malaysia dalam ASEAN.
“Sidang kemuncak hujung bulan ini penting bukan sahaja kerana kehadiran pemimpin-pemimpin dunia seperti Trump, Lavrov dan Li Qiang ini, tetapi kerana ia manifestasi hasrat Malaysia untuk menjadikan ASEAN sebuah organisasi yang lebih dihormati di mata dunia,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata kehadiran pemimpin kuasa besar dunia itu juga membawa mesej bahawa ASEAN kini semakin dekat dengan arus geopolitik global dan tidak mahu bersikap tidak peduli terhadap perkembangan di luar rantau Asia Tenggara.
Menurutnya, kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN kali ini memperlihatkan komitmen untuk meningkatkan profil blok itu bukan sahaja dari segi ekonomi, tetapi juga dalam menangani isu-isu global seperti Laut China Selatan, Ukraine dan Gaza.
“Persepsi ini penting bukan sahaja kepada kedudukan Malaysia pada peringkat antarabangsa, tetapi juga terhadap imej ASEAN sebagai sebuah organisasi global yang berpengaruh,” katanya.
Berpandangan senada, Penganalisis Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya, Collins Chong Yew Keat berkata sidang kali ini menjadi ruang terbaik untuk Malaysia mengetengahkan kepimpinan yang mampu membawa ASEAN keluar daripada kepompong konvensional yang bersifat serantau kepada blok yang bersifat lebih proaktif dalam menangani cabaran global,” katanya.
Beliau berkata kehadiran pemimpin kuasa besar termasuk Amerika Syarikat, India, China, Kesatuan Eropah dan kemungkinan Rusia akan menjadi penanda aras kepada keupayaan Malaysia sebagai kuasa penghubung dan penyeimbang dalam mencipta platform diplomasi bagi memperkukuh peranan ASEAN sebagai blok yang berwibawa.
Chong berkata sidang kali ini juga dijangka memperkukuh suara kolektif ASEAN dalam isu keselamatan dan pertahanan, khususnya menerusi rundingan lanjut mengenai Kod Tatalaku Laut China Selatan (COC) bagi menyeragamkan pendirian bersama rantau ini.
Malaysia katanya, turut dijangka menonjolkan visi jangka panjang ASEAN menerusi pelaksanaan Komuniti ASEAN 2045 dan Pandangan ASEAN mengenai Indo-Pasifik (AOIP) yang menekankan keterangkuman, tenaga hijau dan pembangunan digital.
“Sebagai tuan rumah dan pengerusi, Malaysia sentiasa memainkan peranan utama dalam membentuk agenda masa depan ASEAN. Komuniti ASEAN 2045 bakal menjadi antara legasi penting Malaysia dalam mengekalkan daya saing dan kerelevanan blok ini dalam menghadapi cabaran baharu dunia,” katanya.
Beliau berkata impak sidang kemuncak itu bukan sahaja dari sudut diplomasi, malah turut memberikan kesan langsung kepada rakyat melalui peluasan peluang pekerjaan, peningkatan keterangkuman ekonomi dan pembangunan sosial serantau.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan" dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt ini dengan penyertaan pemimpin tertinggi 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun dan India.
-- BERNAMA