AM

JELAJAH HALAL MALAYSIA RANCAKKAN INDUSTRI HALAL MELAKA

17/10/2025 05:48 PM

MELAKA, 17 Okt (Bernama) -- Jelajah Halal Malaysia (JHM) Melaka yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dari 16 hingga 19 Okt berjaya merancakkan pertumbuhan industri halal negeri selain memperkukuh kedudukan Melaka sebagai hab halal antarabangsa.

Menurut kenyataan Halal Development Corporation Berhad (HDC) hari ini,  program itu menghimpunkan lebih 500 usahawan, pemain industri halal serta pelabur tempatan dan antarabangsa.

Program itu juga berperanan sebagai platform utama bagi perkongsian ilmu, inovasi pensijilan halal, pemasaran serta pembangunan produk berdaya saing pada peringkat global.

Terdahulu majlis perasmian JHM Melaka disempurnakan oleh Pemangku Pengerusi HDC Datuk Azhari Shaari dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif HDC Hairol Ariffein Sahari, wakil agensi kerajaan negeri serta rakan strategik. 

"Melaka kini diiktiraf antara negeri paling progresif dalam pelaksanaan agenda halal negara malah pada 2024 negeri ini menerima pengiktirafan World Halal Excellence Award di bawah kategori Best Halal State Initiative anjuran HDC.

“Ia sebagai penghargaan terhadap usaha berterusan membangunkan ekosistem halal menyeluruh merangkumi sektor pelancongan, farmaseutikal, kosmetik, fesyen, logistik dan kewangan Islam," menurut kenyataan itu. 

Melalui inisiatif seperti Melaka Halal Hub dan kerjasama strategik bersama HDC, kerajaan negeri terus memperkukuh keupayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk menembusi pasaran serantau termasuk Asia Barat, Eropah dan Afrika.

"JHM Melaka turut menampilkan pelbagai pengisian termasuk sesi dialog industri, padanan perniagaan (B2B), pameran produk halal serta peluang jaringan strategik bagi menggalakkan kolaborasi antara pemain industri tempatan dan antarabangsa.

"Selain itu, inisiatif wanita dalam industri halal yang dipromosikan oleh HDC turut mendapat perhatian, menarik penyertaan usahawan wanita untuk meneroka potensi baharu dalam industri halal yang terus berkembang pesat," katanya. 

Di samping itu, Kerajaan Negeri Melaka dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) selaku rakan strategik turut yakin kejayaan penganjuran akan menjadi pemangkin utama menjadikan Melaka sebagai hab halal berimpak tinggi dengan sasaran pasaran global bernilai RM22 trilion menjelang 2030, selaras dengan visi Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) dan aspirasi Malaysia sebagai kuasa besar halal dunia.

Menerusi kenyataan yang sama, Hairol Ariffein berkata penganjuran JHM di Melaka bukan sahaja membuka peluang lebih luas kepada usahawan tempatan, malah mengukuhkan kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan Persekutuan dalam memperkasakan daya saing industri halal negara.

“HDC komited membantu setiap negeri membangunkan potensi industri halal masing-masing termasuk aspek pendigitalan halal, pembangunan bakat dan pemerkasaan usahawan supaya Malaysia kekal sebagai peneraju halal global menjelang 2030," katanya. 

Beliau berkata program JHM merupakan kolaborasi strategik antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui HDC bersama kerajaan negeri terpilih setiap tahun bagi membantu PMKS memperkukuh keupayaan menembusi pasaran halal tempatan dan antarabangsa.

Sejak diperkenalkan pada 2022, program itu telah melibatkan lebih 2,000 PMKS dengan jumlah jualan mencecah RM25.7 juta sekali gus membuktikan impaknya terhadap pertumbuhan ekonomi halal negara.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan