AM

HAB PENGECASAN EV PERTAMA DIBINA DI R&R SEREMBAN DENGAN KOS RM12 JUTA - NANTA

16/10/2025 07:22 PM

SEREMBAN, 16 Okt (Bernama) -- Sebuah hab pengecasan kenderaan elektrik (EV) bersepadu pertama di Malaysia akan dibangunkan di kawasan rehat dan rawat (R&R) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan di sini dengan anggaran kos sebanyak RM12 juta.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek yang dijangka siap pada 2027 di tanah seluas satu ekar itu sejajar dengan dasar dan hala tuju kerajaan dalam memacu peralihan tenaga serta mobiliti rendah karbon.

“Kedudukan kompleks yang berdekatan membolehkan ia diintegrasikan dengan kemudahan sedia ada di R&R Seremban, sejajar dengan peningkatan jumlah kenderaan EV di jalan raya.

“Oleh itu, kita tidak lagi melihat kawasan R&R seperti di R&R Seremban ini atau hentian sebelah di lebuh raya sebagai sekadar tempat berhenti berehat atau mengisi minyak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah hab pengecasan EV bersepadu di sini hari ini.

Projek itu dibangunkan oleh PLUS Malaysia Berhad.

Yang turut hadir, Pengerusi PLUS Datuk Mohamad Nasir Ab Latif.

Pada majlis tersebut, PLUS dan Yinson GreenTech mengumumkan kerjasama melalui Terra ChargEV Sdn Bhd bagi membangunkan hab EV itu sekali gus menyokong inisiatif negara ke arah mobiliti rendah karbon.

Nanta berkata pembangunan itu bakal menyaksikan transformasi R&R lebuh raya kepada sebuah destinasi perkhidmatan mobiliti yang mengintegrasikan evolusi keperluan dan pengalaman pengguna daripada aspek makanan, minuman dan fasiliti awam yang lengkap, moden dan inklusif.

Beliau berkata hab itu akan dilengkapi dengan 20 poin kemudahan pengecasan pantas dan kemudahan awam seperti tandas, surau dan sistem pencahayaan cekap tenaga.

“Hab EV ini akan dilengkapi dengan kemudahan pengecasan pantas prestasi tinggi sehingga 350 kiloWatt (kW).

“Ia juga dilengkapi dengan infrastruktur solar, sekali gus membuktikan komitmen terhadap amalan tenaga boleh baharu," katanya.

Nanta berkata projek itu turut memberi kesan positif kepada ekonomi dan masyarakat, menjana peluang pekerjaan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui penyediaan kemudahan yang mesra pengguna dan mesra alam.

Beliau juga berkata, kerajaan komited untuk mencapai sasaran mewujudkan 10,000 stesen pengecas EV di seluruh negara menjelang akhir tahun 2025 termasuk di lebuh raya yang disediakan oleh PLUS.

“Terdapat 140 poin pengecas pantas di lebuh raya di Malaysia termasuk 114 poin di PLUS, sekali gus membantu mengurangkan kebimbangan jarak atau ‘range anxiety’ pengguna EV,” katanya dan menambah akan mewujudkan 50 poin pengecas EV lagi pada tahun hadapan di seluruh lebuh raya.

Sementara itu, Mohamad Nasir berkata R&R Seremban (arah Selatan) dipilih sebagai lokasi hab tersebut bagi memberi nilai tambah kepada pembangunan semula hentian tersebut yang melakar sejarah sebagai R&R lestari pertama di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan