AM

ISU KESELAMATAN PELAJAR TUNTUT TINDAKAN RENTAS KEMENTERIAN - PAKAR

15/10/2025 08:42 PM

Oleh SAKINI MOHD SAID

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Keputusan mengangkat isu disiplin dan keselamatan sekolah ke peringkat Jemaah Menteri, mencerminkan kesediaan kerajaan melakukan intervensi segera yang drastik dan menyeluruh sekali gus menjadikannya cabaran nasional yang menuntut kerjasama rentas kementerian.

Langkah itu yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini, juga dilihat sebagai ‘isyarat jelas’ bahawa masalah berkenaan tidak lagi boleh dipikul Kementerian Pendidikan (KPM) semata-mata.

Dengan persekitaran yang agak mencabar serta kompleks, pakar pendidikan Dr Anuar Ahmad menegaskan kebimbangan ibu bapa susulan insiden jenayah di sekolah itu, hakikatnya berpunca daripada pelbagai faktor, termasuk kelemahan kepimpinan, pengaruh media sosial, tekanan, keluarga hingga autoriti guru. 

“Tindakan Perdana Menteri menggerakkan intervensi segera dengan melibatkan Jemaah Menteri adalah sesuatu yang tepat sebagai langkah pencegahan agar insiden ini tidak berulang di masa depan.

“Justeru, pendekatan pencegahan ini jelas memperlihatkan kesungguhan kerajaan menangani isu jenayah di sekolah secara proaktif misalnya, tekanan emosi pelajar dan pengaruh media sosial tidak mungkin dapat ditangani KPM sahaja tetapi memerlukan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Komunikasi,” katanya.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan dilaporkan, berkata langkah tegas bagi menangani isu disiplin dan keselamatan di sekolah termasuk pengaruh media sosial dalam kalangan pelajar akan dibincang oleh Jemaah Menteri dalam masa terdekat. 

Beliau berkata perbincangan itu yang berkemungkinan berlangsung hari ini atau esok adalah susulan daripada beberapa insiden yang berlaku di institusi pendidikan sejak kebelakangan ini yang memerlukan intervensi segera.

Semalam, negara digemparkan dengan satu lagi insiden tragis membabitkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat maut ditikam oleh seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di sebuah sekolah menengah di Selangor.

Tragedi yang mengejutkan itu berlaku selepas tidak sampai sebulan selepas kes rogol membabitkan empat pelajar lelaki Tingkatan Lima dan seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di Melaka, yang membawa kepada tindakan buang sekolah serta-merta.

 Rentetan itu menyebabkan ada ibu bapa berpandangan sekolah tidak lagi sebagai tempat yang selamat untuk anak-anak mereka.

Dalam pada itu, Anuar yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata ada keperluan untuk melihat autoriti atau suara guru dikembalikan.

“Terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian Jemaah Menteri, antaranya mengembalikan autoriti guru dan memperkasakan peranan mereka bukan sekadar mengajar tetapi juga mendidik. Ramai guru tidak lagi berani menegur atau mendisiplinkan pelajar kerana bimbang berdepan saman, hilang pencen.

“Pelaksanaan hukuman termasuk rotan wajar dikembalikan dengan garis panduan jelas serta mengikut jenis kesalahan kerana ia sebahagian proses pembentukan akhlak dan sahsiah pelajar, tahu membezakan yang betul dan salah, serta memahami kepentingan undang-undang sebagai asas pembentukan peribadi,” katanya.

Dengan perbincangan di peringkat Jemaah Menteri, Anuar berpandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi)  Datuk Seri Azalina Othman Said dijangka dapat memberi penerangan mekanisme melindungi guru ketika melaksanakan hukuman, agar tidak terdedah tindakan undang-undang.

Selain itu, syor agar Kementerian Komunikasi dan agensi di bawahnya melaksanakan intervensi segera dengan pendekatan sistematik serta menyeluruh yang disifatkan amat penting dalam menangani isu disiplin serta keselamatan sekolah yang terkait dengan pengaruh media sosial.

Biarpun begitu, Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA) dalam satu kenyataan menegaskan masalah tersebut tidak boleh dilihat semata-mata sebagai isu disiplin atau moral tetapi sebagai manifestasi pelbagai faktor psikologi, sosial dan persekitaran yang saling berkait.

“Peningkatan masalah sosial semakin meruncing dalam kalangan pelajar sekolah, mencerminkan krisis kesejahteraan psikososial yang perlu ditangani secara menyeluruh semua pihak bukan hanya sekolah dan keluarga tetapi juga komuniti, agensi penguatkuasaan, pakar psikologi dan pembuat dasar.

“Terdapat keperluan mendesak memahami punca termasuk faktor tekanan keluarga, pengaruh rakan sebaya, persekitaran sekolah tidak selamat serta pendedahan awal kandungan ganas atau lucah dalam talian yang boleh membentuk tingkah laku agresif, simptom kemurungan atau tindakan jenayah dalam kalangan remaja,”  kata Presidennya Dr Shazli Ezzat Ghazali.

Sehubungan itu, beliau berkata PSIMA menyeru agar pendekatan intervensi yang holistik dan berasaskan bukti dilaksanakan segera  termasuk melaksanakan program literasi emosi dan psikologi di sekolah bagi membantu pelajar mengenali, mengurus dan menyalurkan emosi secara sihat. 

Selain itu, beliau berkata intervensi awal oleh pakar psikologi berdaftar terhadap pelajar yang menunjukkan tingkah laku berisiko dan bukan hanya tertumpu kepada hukuman disiplin semata-mata, selain  pengukuhan sistem rujukan serta intervensi psikososial di sekolah melibatkan pakar psikologi, kaunselor, guru dan ibu bapa.

“Pembangunan dasar sekolah selamat yang menangani buli, gangguan seksual dan jenayah dengan prosedur responsif, mesra mangsa dan tegas terhadap pelaku, peningkatan kesedaran awam tentang kesihatan mental remaja melalui kempen media, latihan komuniti dan program keluarga.

“Selain itu, mewujudkan Akta Psikologi Malaysia untuk melindungi masyarakat daripada pseudopsikologi (perkhidmatan yang tidak disokong bukti saintifik) dan melindungi pengamal psikologi yang bertauliah,” katanya dan menambah PSIMA sedia bekerjasama dengan KPM, KKM, agensi penguatkuasaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti membangunkan pelan tindakan yang sistematik termasuk penyediaan modul intervensi psikologi, latihan berasaskan sains tingkah laku serta rangka kerja pemantauan berterusan di sekolah.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan