DUNIA

GOOGLE LABUR US$15 BILION BAGI HAB AI DI SELATAN INDIA

14/10/2025 06:51 PM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 14 Okt (Bernama) -- Google akan melabur sebanyak US$15 bilion antara 2026 dan 2030 untuk membangunkan hab kecerdasan buatan (AI) di Visakhapatnam, yang terletak di negeri Andhra Pradesh di selatan India.

Projek itu akan membolehkan Google menggunakan keseluruhan ekosistem AI miliknya bagi mempercepatkan pengembangan perkhidmatan berasaskan AI di seluruh India, kata syarikat Amerika Syarikat itu pada Selasa.

Hab tersebut akan menggabungkan infrastruktur AI berskala besar, pusat data, sumber tenaga berskala besar serta rangkaian gentian optik yang diperluas di satu lokasi.

“Hab AI Google di Visakhapatnam mewakili satu pelaburan penting dalam masa depan digital India. Dengan menyediakan infrastruktur AI terkemuka industri pada skala besar, kami membolehkan perniagaan berinovasi dengan lebih pantas dan mewujudkan peluang bermakna untuk pertumbuhan yang inklusif,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Google Cloud Thomas Kurian dalam satu kenyataan syarikat semasa mengumumkan projek itu pada satu acara di New Delhi.

Gergasi teknologi dari AS itu bekerjasama dengan AdaniConneX, sebuah unit milik Adani Enterprises yang dimiliki ahli perniagaan dari Gujarat, Gautam Adani, untuk membina kampus pusat data AI terbesar India di bandar pelabuhan Visakhapatnam.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan