DUNIA

PBB LAPOR LEBIH 300,000 PENDUDUK GAZA BERGERAK DARI SELATAN KE UTARA SUSULAN GENJATAN SENJATA

14/10/2025 04:02 PM

HAMILTON (Kanada), 14 Okt (Bernama-Anadolu) -- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin melaporkan lebih 300,000 orang dikesan bergerak dari selatan Semenanjung Gaza ke utara sejak beberapa hari kebelakangan ini selepas pelaksanaan genjatan senjata yang memudahkan sekatan pergerakan di seluruh wilayah itu.

“Sejak Jumaat hingga semalam, rakan-rakan kami yang memantau perpindahan merekodkan hampir 310,000 pergerakan dari selatan ke utara Gaza, serta sekitar 23,000 pergerakan ke arah lain,” kata jurucakap PBB, Farhan Haq pada sidang media seperti dilapor Anadolu Ajansi.

Beliau berkata, pasukan kemanusiaan kini lebih mudah bergerak di banyak kawasan, membolehkan bantuan sampai kepada penduduk di tempat-tempat yang terputus hubungan selama beberapa bulan.

“Dengan kelonggaran sekatan pergerakan dan akses di pelbagai lokasi, kami dapat menempatkan bekalan perubatan dan kecemasan di kawasan paling memerlukan serta menilai keadaan jalan utama bagi memastikan tiada ancaman letupan,” katanya.

Haq turut mengumumkan bahawa Ketua Penyelaras Bantuan Kecemasan PBB, Tom Fletcher pada hari sama memperuntukkan tambahan US$11 juta daripada Dana Tindak Balas Kecemasan Pusat (CERF) untuk meningkatkan operasi kemanusiaan di Gaza menjelang musim sejuk.

“Ini susulan peruntukan US$9 juta minggu lalu bagi memastikan bekalan bahan api mencukupi demi mengekalkan operasi perkhidmatan penting di seluruh Gaza, menjadikan jumlah keseluruhan pembiayaan CERF baru-baru ini kepada US$20 juta,” katanya.

Di bawah pelan kemanusiaan 60 hari pertama, PBB bersama rakan pelaksana akan menyalurkan bantuan dan perkhidmatan penting kepada penduduk di seluruh Gaza termasuk makanan, air, rawatan kesihatan, tempat perlindungan, barangan kebersihan dan perkhidmatan perlindungan, kata beliau.

Dalam perkembangan berasingan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dilapor sedang memperluas operasinya sejak genjatan senjata dimeterai.

WHO telah menghantar pasukan perubatan kecemasan dalam tempoh 24 jam bagi memperkukuh perkhidmatan pembedahan dan kecemasan di Hospital Al-Ahli, dengan penempatan tambahan dirancang di Bandaraya Gaza apabila penduduk mula kembali,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus menerusi platform media sosial X.

WHO turut menghantar lapan trak bekalan perubatan ke Gaza termasuk insulin, kelengkapan makmal dan ubat-ubatan penting.

Selain itu, WHO menghubungi Hospital Eropah Gaza bagi mengumpul ubat kanser dan bekalan lain termasuk peralatan rawatan rapi seperti inkubator, ventilator mekanikal dan monitor pesakit sebelum menghantarnya ke Hospital Nasser.

“Memperbaiki akses kepada fasiliti kesihatan dan memperluas misi operasi kami adalah langkah awal penting bagi menyalurkan bantuan kesihatan segera kepada rakyat Palestin di seluruh Gaza,” tegas Tedros.

Beliau turut menyatakan bahawa pembebasan awal tawanan Israel dan tahanan Palestin memberi sinar harapan kepada semua yang menanggung penderitaan sejak dua tahun lalu.

Perkembangan minggu ini, katanya, merupakan “langkah penting ke arah yang tepat,” sambil menegaskan kesediaan WHO untuk meningkatkan usaha menyelamat nyawa dan memulihkan perkhidmatan kesihatan penting.

“Sistem kesihatan Gaza bukan sahaja perlu dipulihkan, tetapi dibina semula agar lebih kukuh, adil dan responsif terhadap keperluan rakyat,” katanya sambil menegaskan, “Ubat terbaik ialah keamanan.”

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan