SEPANG, 13 Okt (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan beberapa lencongan jalan secara berkala, berikutan pertindihan acara perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia Grand Prix (MotoGP) Malaysia dengan Sidang Kemuncak ASEAN, terutama pada 26 Okt.
Ketua Polis Daerah KLIA ACP Azman Shari'at berkata langkah itu, akan dilaksanakan mengikut masa ketibaan ketua-ketua negara dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke ibu negara, bagi menghadiri sidang kemuncak berkenaan.
“PDRM khususnya Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik akan membuat lencongan bergantung kepada keperluan semasa, pada masa tertentu sahaja, bukan pada sepanjang masa,” katanya kepada pemberita selepas taklimat trafik dan keselamatan sempena perlumbaan MotoGP 2025 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.
Beliau menasihatkan pengunjung MotoGP supaya mematuhi arahan anggota trafik yang ditempatkan di semua persimpangan dan laluan utama, selain menggalakkan penggunaan pengangkutan awam seperti kereta api atau bas khas yang disediakan bagi mengelakkan kesesakan.
Azman berkata sebanyak 450 anggota polis, akan ditugaskan sepanjang acara berlangsung bagi memastikan kelancaran trafik, ketenteraman awam dan pencegahan jenayah, termasuk membuat rondaan bersama pihak keselamatan SIC untuk membantu menjaga keselamatan ramai.
Mengenai laluan alternatif, beliau berkata antara jalan yang boleh digunakan sekiranya berlaku penutupan sementara ialah Plaza Tol Bandar Serenia, Plaza Tol Nilai dan Plaza Tol Bandar Ainsdale untuk ke SIC.
MotoGP 2025 dijadual berlangsung dari 24 hingga 26 Okt, manakala Sidang Kemuncak ASEAN akan diadakan dari 26 hingga 28 Okt.
-- BERNAMA