POLITIK

PRN SABAH: BN PERAK GERAKKAN JENTERA BANTU KEMPEN DI LIMA DUN

13/10/2025 10:35 PM

GOPENG, 13 Okt (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Perak akan menghantar jenteranya ke Sabah bagi membantu kempen parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, dengan fokus di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Tawau dan Kalabakan.

Pengerusi BN Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata jentera parti negeri ini diamanahkan untuk membantu persiapan dan strategi kempen bagi memastikan gerak kerja menghadapi PRN berjalan lancar. 

"Saya juga akan turun padang ke sana untuk meninjau keperluan di lapangan. Peranan kami (BN Perak) adalah membantu, manakala orang tempatan lebih memahami hati budi pengundi di kawasan masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pertandingan Program Asas Keusahawanan Anak Remaja, Asas Keusahawanan Koperasi dan Junior Food Security Innovation Challenge peringkat negeri di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini hari ini.

Pada 6 Okt lepas, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi memberi laluan kepada PRN ke-17.

DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas pada Khamis ini bagi membincangkan beberapa tarikh penting dan perkara lain berkaitan dengan PRN berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan