KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) optimis industri kreatif Malaysia akan terus berkembang dan diperkukuh dengan adanya peruntukan RM110 juta yang diberikan kerajaan menerusi Belanjawan 2026.
FINAS dalam kenyataan memaklumkan peruntukan berkenaan menjadi pelengkap kepada usaha berterusan agensi itu dalam melaksanakan Dana Kandungan Kreatif (DKK) dan Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI), yang sejak pelaksanaannya telah berjaya menarik pelaburan bernilai tinggi, menjana ribuan peluang pekerjaan.
“Inisiatif itu juga memperkukuh reputasi Malaysia sebagai hab penerbitan filem serantau.
“Seiring dengan pelaksanaan Dasar Perfileman Negara (DFN) 2025-2035, FINAS akan terus fokus kepada pembangunan ekosistem kandungan yang mampan dan kompetitif melalui pengukuhan bakat, fasiliti produksi bertaraf antarabangsa, serta pemerkasaan dasar yang menyokong pertumbuhan industri kreatif tanah air,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, FINAS juga kekal komited merakyatkan dan meletakkan industri kreatif sebagai sebuah industri yang dinamik, mampan, inklusif dan diiktiraf di peringkat global, sekali gus mencerminkan identiti pelbagai budaya, memacu pertumbuhan ekonomi serta menyumbang kepada perpaduan negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026, Jumaat lepas memaklumkan kerajaan memperuntukkan RM110 juta insentif galakan untuk penerbit filem tempatan dan antarabangsa.
Jumlah itu termasuk RM10 juta khusus untuk penerbitan kandungan kenegaraan bagi memperkukuh jati diri nasional melalui medium kreatif.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan MADANI untuk menyokong penghasilan karya kreatif dalam memperkukuh ekosistem ekonomi jingga.
-- BERNAMA