KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Peruntukan keseluruhan Tabung Kasih@HAWANA berjumlah hampir RM1 juta untuk tahun ini berjaya diagihkan sekali gus hampir mencapai sasaran tahunan sebanyak 300 penerima, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Beliau berkata untuk tahun ini, seramai 275 pengamal media di seluruh negara menerima manfaat daripada Tabung Kasih@HAWANA dengan jumlah sumbangan keseluruhan melebihi RM830,000.
Teo berkata sejak diperkenal pada 2023, seramai 532 pengamal media telah dibantu dengan jumlah sumbangan melebihi RM1.53 juta setakat hari ini sekali gus membuktikan komitmen berterusan Kerajaan MADANI melalui Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi memastikan kebajikan golongan itu terus diberi perhatian.
"Daripada keseluruhan penerima, seramai 74 adalah pengamal media Tamil dengan sumbangan melebihi RM220,000.
"Bagi tahun 2025, setakat hari ini seramai 44 pengamal media Tamil telah menerima manfaat melibatkan sumbangan RM132,000," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Kasih@HAWANA Sempena Sambutan Deepavali 2025 di Wisma Bernama di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran, Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama merangkap Pengarah Projek HAWANA 2025 Arul Rajoo Durar Raj.
Pada hari ini, seramai 16 pengamal media yang berdepan ujian kesihatan dan kesempitan hidup menerima sumbangan menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA menjelang sambutan Deepavali tidak lama lagi.
Mereka ialah operator mesin Penerbitan Sahabat (M) Sdn Bhd M. Gopal, 58, penyusun atur huruf Malaysia Nanban Zubaidah Mohamed Sharrif, 55, bekas wartawan Nambikkai Sdn Bhd Ashwini Gopal Senthamarai, 26, bekas Pengarang Urusan Tamil Malar Datuk M. Periasamy, 73, yang diwakili anaknya P. Gunaseelan, dan bekas wartawan Tamil Malar R. Subramaniam, 69.
Turut menerima sumbangan bekas jurufoto Makkal Osai P. Malayanadi, 67, bekas juruteknik mesin Tamil Nesan P. Krishnan, 66, bekas wartawan Malaysia Nanban Nagasamy Govindan, 76, operator penyusun atur huruf Malaysia Nanban R. Punitha, 40 dan V. Indria Gandhi, 58.
Penerima lain Ketua Pengarang Malaysia Nanban M. Rajintheram, 69, Wartawan Malaysia Nanban S. S. Jeevaraja, 47, Ketua Editor Tamillens Online Media V. Yettrivanan, 37, Kunasundary Nagarajah, 44, dari Minnal FM Radio Televisyen Malaysia (RTM), Wong Zhi Zhen, 33, dari Meja Berita Mandarin Media Prima dan Wartawan Kanan Malaysia Gazette S.Kumara, 46.
Teo turut berharap agar Tabung Kasih@HAWANA terus diperkasa dan peruntukannya dapat ditambah dari semasa ke semasa supaya lebih ramai pengamal media yang memerlukan dapat dibantu.
"Kepada rakan-rakan media yang memerlukan bantuan atau mengenali seseorang yang memerlukan, bolehlah membuat permohonan melalui urus setia Tabung Kasih@HAWANA atau menghubungi pejabat saya.
"Kami bersedia membantu kerana inisiatif ini membuktikan komitmen Kementerian Komunikasi untuk menjaga kebajikan rakan-rakan media dan memastikan tiada siapa yang terpinggir," katanya.
Menyentuh mengenai majlis hari ini, Teo berkata penganjuran julung kali itu sempena sambutan Deepavali oleh Bernama dengan kerjasama pejabat beliau untuk para pengamal media, bekas petugas media dan wartawan veteran yang diuji masalah kesihatan serta kesempitan hidup wajar diteruskan.
"Tahniah kepada Bernama atas inisiatif yang amat bermakna ini... usaha seperti ini wajar diteruskan bagi menghargai jasa dan sumbangan para pengamal media yang sentiasa menjadi tulang belakang dalam menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat tanpa mengira masa dan keadaan," katanya.
-- BERNAMA