KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2026 mencerminkan keazaman Malaysia untuk memajukan ekonomi digital menerusi pelaburan strategik dalam kecerdasan buatan (AI) dan infrastruktur digital, kata Ketua Hal Ehwal Kerajaan dan Dasar Awam Kaspersky bagi Asia Pasifik, Heng Lee.
Beliau berkata antara pelaburan strategik yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lepas ialah Geran Pemecut Digital Malaysia, peluasan penggunaan MyDigital ID, dan projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI.
"Inisiatif ini akan memperkukuh asas digital negara dengan mewujudkan impak dari atas ke bawah dan menjadi pemangkin kepada kesediaan bakat untuk masa depan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Heng berkata ketika Malaysia terus mendalamkan keupayaan dan ketersambungan digital, keperluan untuk daya tahan siber merentasi setiap ekosistem menjadi semakin kritikal.
"Penyelidikan ancaman kami menunjukkan bahawa serangan siber tidak mengira sempadan. Pada 2024 sahaja, Malaysia berdepan dengan 27.9 juta ancaman web. Memperkukuh pertahanan siber di seluruh sektor amat penting, dengan tumpuan khusus pada perusahaan kecil dan sederhana yang berhubung setiap hari," katanya.
Dengan melindungi kerajaan, sektor kritikal dan perniagaan, beliau berkata Malaysia dapat membina imuniti siber yang diperlukan untuk mengekalkan pertumbuhan digital buat semua.
-- BERNAMA