KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru golongan muda Malaysia agar tampil sebagai pendukung dalam usaha memerangi rasuah serta mengamalkan prinsip tadbir urus yang baik.
Perdana Menteri menegaskan bahawa integriti dan kebertanggungjawaban merupakan asas penting bagi memastikan kemajuan negara terus berkekalan.
“Sebab itu saya sering menekankan soal tadbir urus. Kepimpinan mesti bersih dan hentikan amalan tidak beretika ini, rasuah dalam negara kita. Saya perlukan sokongan anak muda.
“Anda mesti menjadi peneraju. Anda mesti berkata, cukup-cukuplah rasuah di negara ini, tiada lagi penyeludupan, tiada lagi sindiket,” katanya pada sesi ‘In Conversation with Prime Minister’ sempena International Young Future Leaders Summit (iFUTURE) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan timbalannya Datuk Mustapha Sakmud.
Anwar berkata walaupun teori ekonomi tradisional berpendapat kerajaan perlu menaikkan cukai bagi menjana pendapatan untuk sektor seperti pendidikan, kesihatan dan infrastruktur, namun pengalaman Malaysia menunjukkan bahawa mengekang ketirisan dan membanteras rasuah merupakan langkah yang lebih berkesan.
Beliau berkata dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini sahaja, kerajaan telah berjaya memulihkan dana haram berjumlah RM15.5 bilion yang diperoleh daripada pelbagai sindiket dan kartel.
“Masih ada ketirisan, rasuah, penyeludupan dan kegiatan kartel. Mengapa tidak kita tangani perkara ini dahulu? Mereka yang terlibat bukan orang kecil... tetapi individu berpengaruh yang telah menyeleweng berbilion ringgit.
“Kerajaan mesti mendapatkan semula dana ini dan membelanjakannya untuk rakyat bagi pendidikan, penjagaan kesihatan dan kesejahteraan anak muda,” katanya.
Perdana Menteri berkata, kejayaan kerajaan dalam membanteras rasuah dan memulihkan dana awam telah membolehkan pelaksanaan pelbagai inisiatif sosial baharu, termasuk pelaksanaan pendidikan percuma secara berperingkat bagi golongan miskin tegar mulai tahun depan.
Beliau berkata inisiatif itu akan diperluas secara beransur-ansur selaras dengan penambahbaikan dalam tadbir urus dan pengurusan fiskal negara, dengan matlamat jangka panjang untuk menjadikannya sebagai skim biasiswa penuh.
“Jika tadbir urus kekal kukuh dan betul, kita akan perluaskannya sedikit demi sedikit sehingga akhirnya ia menjadi biasiswa penuh,” katanya.
-- BERNAMA