KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Kalangan pelabur asing meneruskan pembelian bersih bagi minggu kedua berturut-turut di pasaran Asia minggu lepas yang berjumlah US$904.8 juta atau 4.12 kali lebih rendah berbanding aliran masuk minggu sebelumnya sebanyak US$3.73 bilion.
Laporan Aliran Dana MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) bagi minggu berakhir 10 Oktober 2025 menunjukkan Vietnam, Thailand dan Filipina mencatat aliran keluar bersih asing manakala pasaran lain mencatatkan aktiviti pembelian bersih, diterajui oleh Korea Selatan dengan aliran masuk asing terbesar di rantau ini.
“Korea Selatan mencatat aktiviti pembelian bersih selama dua minggu berturut-turut dengan aliran masuk bersih asing terbesar di rantau ini sebanyak US$913.2 juta atau 3.48 kali lebih rendah berbanding aliran masuk minggu sebelumnya sebanyak US$3.18 bilion,” katanya.
Bank pelaburan itu berkata Taiwan menyaksikan belian bersih asing berterusan untuk minggu kedua berturut-turut dengan aliran masuk bersih sebanyak US$209.6 juta.
Sementara itu, India turut mencatat belian bersih pada minggu lepas, sekali gus menamatkan tempoh dua minggu aliran keluar dengan aliran masuk bersih berjumlah US$197.4 juta.
“Walaupun pertumbuhan sektor perkhidmatannya pada September 2025 perlahan berikutan pesanan asing yang lemah, sektor berkenaan kekal kukuh manakala keyakinan perniagaan juga meningkat,” katanya.
Bagi dalam negara, pelabur asing beralih menjadi penjual bersih minggu lepas yang menamatkan aliran masuk dana, apabila mencatat aliran keluar RM1.44 bilion yang angka mingguan terbesar sejak akhir Ogos 2025.
MBSB IB berkata pelabur asing menjadi penjual bersih pada setiap hari dagangan minggu lepas dengan aktiviti jualan bersih tertinggi dicatat pada Jumaat yang berjumlah RM327.0 juta.
“Ini diikuti Rabu (-RM307.8 juta), Isnin (-RM288.7 juta) dan Selasa (-RM281.7 juta). Jumlah aliran keluar paling kecil berlaku pada Khamis sebanyak RM237.9 juta,” kata MBSB IB.
Pada masa sama, sektor tunggal yang mencatat aliran masuk bersih asing minggu lepas adalah teknologi (RM85.7 juta) manakala tiga sektor utama menyaksikan aliran keluar bersih asing adalah perkhidmatan kewangan (-RM491.7 juta), penjagaan kesihatan (-RM171.2 juta) dan hartanah (-RM145.5 juta).
Selain itu, institusi tempatan menjadi pembeli bersih, sekali gus menamatkan seminggu aliran keluar bersih bagi kelompok itu dengan jumlah pembelian sebanyak RM1.49 bilion — aliran masuk bersih mingguan tertinggi sejak April 2025.
Peruncit tempatan juga meneruskan jualan bersih kepada lima minggu berturut-turut dengan aliran keluar bersih lebih sederhana berjumlah RM50.6 juta.
“Purata jumlah dagangan harian menunjukkan penurunan menyeluruh pada minggu lepas. Peruncit tempatan dan pelabur asing mencatat penurunan sederhana iaitu masing-masing -3.9 peratus dan -1.6 peratus manakala institusi tempatan mencatatkan peningkatan sebanyak +6.3 peratus,” katanya.
-- BERNAMA