PUTRAJAYA, 13 Okt (Bernama) -- Guru tidak harus dipersalahkan sepenuhnya apabila berlaku insiden tingkah laku tidak bermoral dalam kalangan pelajar sekolah kerana tanggungjawab itu perlu dikongsi bersama oleh ibu bapa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata sistem pendidikan negara yang diwarisi sejak sekian lama juga mempunyai 'kecacatan' kerana hanya menekankan aspek ilmu pengetahuan tanpa menerapkan prinsip, etika dan nilai moral dalam diri pelajar.
Beliau berkata kelemahan itu menjadi antara punca berlakunya kes-kes tidak bermoral di sekolah seperti insiden buli dan rogol yang dilaporkan baru-baru ini.
“Saya tekankan masalah buli (itu disebabkan) pendidikan (yang menekankan) ilmu dan bukannya prinsip-prinsip nilai, moral dan etika... jadi, ada kecacatan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Anwar turut menzahirkan harapan agar wujud tekad bersama antara institusi pendidikan, ibu bapa dan masyarakat untuk memperbaiki kelemahan itu demi membentuk generasi yang bukan sahaja berilmu tetapi juga berakhlak.
“Mudah-mudahan kita ada tekad untuk lakukan yang sebaiknya untuk keluarga, masyarakat dan negara kita,” kata beliau.
Baru-baru ini, polis mengesahkan empat pelajar lelaki berusia 17 tahun yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia bulan depan telah ditahan reman enam hari selepas disyaki merogol seorang pelajar berusia 15 tahun di sebuah sekolah di Alor Gajah, minggu lepas.
Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan memaklumkan pihaknya sedang melaksanakan reformasi menyeluruh bagi memperkukuh keselamatan dan disiplin murid termasuk cadangan menggubal Akta Antibuli menggunakan sistem tribunal.
Cadangan itu kini diteliti oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU).
-- BERNAMA