Oleh Thivyamalini Ramalu
PUTRAJAYA, 13 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2026 membuka lembaran baharu kepada kebangkitan ekonomi bumiputera dengan komitmen kukuh kerajaan memperkasa usahawan tempatan, kata Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA).
Presiden PERDASAMA Mohd Azamanizam Baharon berkata belanjawan yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu disifatkan sebagai ‘Bapa Segala Belanjawan’ dalam sejarah pembangunan ekonomi bumiputera sejak kemerdekaan, khususnya menerusi peruntukan besar dan menyeluruh merangkumi pelbagai sektor strategik.
“Belanjawan 2026 bukan sekadar angka besar tetapi ia membawa makna strategik dan aspirasi tinggi. Ia adalah belanjawan tahun pertama bagi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dijadikan tonggak awal kepada pencapaian bumiputera sehingga 2035, selari Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030 dan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
“Dalam konteks ini, kami memuji komitmen kerajaan yang memastikan kedudukan ekonomi bumiputera berada di landasan tepat, sejajar dengan aspirasi MADANI,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Pada Jumaat lepas, Anwar mengumumkan Belanjawan 2026 dengan jumlah keseluruhan RM470 bilion yang menumpukan kepada pengukuhan daya tahan ekonomi serta sokongan kepada perniagaan kecil di tengah-tengah ketidaktentuan global yang berterusan.
Belanjawan 2026 yang bertemakan ‘Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat’ turut mengoptimum sumber negara termasuk dana GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan), badan berkanun Persekutuan dan syarikat MKD (Menteri Kewangan (Diperbadankan)) melalui perbelanjaan awam berjumlah RM470 bilion berbanding RM452 bilion pada tahun sebelumnya.
PERDASAMA turut memuji peruntukan RM10 bilion yang diumumkan kerajaan melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) bagi menjamin pembiayaan kepada syarikat bumiputera, terutama yang terlibat dalam sektor bernilai tambah tinggi.
“Langkah ini amat strategik kerana banyak usahawan bumiputera menghadapi kekangan modal dan jaminan untuk menembusi sektor berimpak tinggi dan pasaran eksport,” katanya.
Mohd Azamanizam turut menyentuh mengenai inisiatif lain yang diumumkan, antaranya RM2.4 bilion untuk kontraktor Bumiputera G1-G4, RM200 juta untuk Program Jaguh Serantau (SME Bank), RM100 juta bagi Program Penskalaan Usahawan MARA dan RM40 juta bagi penskalaan syarikat bumiputera.
Anwar mengumumkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) turut menyediakan RM10 juta bagi meningkatkan daya saing usahawan bumiputera khususnya kontraktor muda dalam industri pembinaan.
Perdana Menteri berkata sebanyak RM105 juta diperuntukkan untuk VentureTECH Sdn Bhd bagi meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor bernilai tinggi dan pada masa masa, Anwar memaklumkan VentureTECH melabur ke dalam 31 syarikat teknologi bumiputera dengan sembilan daripadanya menembusi pasaran global.
Mohd Azamanizam dalam pada itu menekankan keberkesanan Belanjawan 2026 terletak pada pelaksanaan yang telus, inklusif dan bersasar.
Antara saranan yang diketengahkan termasuk pelaksanaan berimpak tinggi iaitu pembiayaan SJPP yang perlu dilaksanakan dengan kefahaman mendalam terhadap keperluan sebenar usahawan bumiputera termasuk akses kepada pasaran, teknologi dan bimbingan berterusan.
“Kami juga berharap kerajaan menetapkan kerangka pemantauan terbuka dan pelaporan setiap inisiatif secara berkala agar manfaat sampai kepada sasaran sebenar.
“Kesimpulannya, Belanjawan 2026 mesti dilihat sebagai batu asas dan memerlukan kerjasama erat rentas agensi termasuk PERDASAMA sebagai pemantau dan penggerak akar umbi,” katanya.
-- BERNAMA