AM

JELAJAH WIRA LTAT KOMITMEN BERTERUSAN HARGAI, PERKASA WARGA ATM

11/10/2025 08:47 PM

SUNGAI PETANI, 11 Okt (Bernama) -- Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hari ini melancarkan Jelajah Wira LTAT 2025: Edisi Utara, satu lagi langkah penting dalam komitmen berterusan untuk menghargai serta memperkasakan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurut LTAT, pelancaran edisi ketiga siri jelajah utama lembaga itu yang sebelum ini dikenali sebagai Minggu Bersama Pencarum (MBP) disempurnakan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Kem Lapangan Terbang, di sini.

“Sebagai platform libat urus utama LTAT, Jelajah Wira LTAT memberi ruang interaksi secara langsung bersama warga ATM bagi meningkatkan kesedaran tentang celik kewangan, perlindungan sosial dan persediaan ke arah persaraan. 

“Program ini juga memperkukuh penyelarasan LTAT dengan kerangka Ekonomi MADANI melalui pelbagai inisiatif pemerkasaan yang memberi manfaat langsung kepada warga ATM dan keluarga mereka,” menurut kenyataan LTAT hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali dan Ketua Eksekutif LTAT Mohammad Ashraf Md Radzi.

Menurut LTAT, menerusi kejayaan siri terdahulu di Sarawak dan Zon Selatan melibatkan hampir 10,000 warga ATM, Edisi Utara yang berlangsung di Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak dari 11 hingga 25 Okt, menyasarkan penyertaan lebih 7,000 anggota daripada 35 kem tentera merangkumi ketiga-tiga cabang perkhidmatan.

Edisi Utara turut menyaksikan pelancaran beberapa inisiatif utama oleh Syarikat Kumpulan LTAT, termasuk Inisiatif Sekolah Angkat MADANI oleh Pharmaniaga yang menyokong pembangunan infrastruktur pendidikan, kesiapsiagaan digital dan potensi pelajar di sekolah dalam kem tentera.

“Selain itu, Penyelesaian Kewangan AFFIN PERKASA oleh Affin Bank, satu pakej kewangan menyeluruh yang direka khas untuk warga ATM merangkumi akaun gaji, pembiayaan perumahan dan kenderaan, simpanan, pelaburan, perlindungan takaful dan peluang pembiayaan perniagaan.

“Boustead Hotels & Resorts turut memperkenalkan Program Kesetiaan Royale Warisan, sebuah inisiatif khusus yang menawarkan ganjaran eksklusif, diskaun istimewa serta pelbagai keistimewaan kepada warga ATM dan ahli keluarga mereka,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Mohammad Ashraf berkata transformasi daripada Minggu Bersama Pencarum kepada Jelajah Wira LTAT mencerminkan komitmen mendalam LTAT terhadap mereka yang menjadi benteng pertahanan negara.

“Sebagai dana yang diamanahkan untuk menjamin masa depan kewangan warga ATM, kami menunaikan tanggungjawab ini dengan penuh iltizam dan keikhlasan.

“Kami bukan sekadar mengurus pelaburan mereka, kami turut melabur dalam kehidupan, keluarga dan masa depan mereka. Melalui edisi ketiga ini, LTAT terus memperkukuh celik kewangan, memperluas perlindungan sosial dan membina ketahanan kewangan jangka panjang untuk seluruh komuniti ATM,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan