KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 kepada 22 juta rakyat berusia 18 tahun ke atas yang diumumkan Perdana Menteri pada pembentangan Belanjawan 2026 membawa keceriaan kepada golongan memerlukan.
Seorang buruh kasar dari Sabah, Jamin Japar, 51, berkata bantuan itu mencukupi untuk membeli barang keperluan asas untuk kegunaan keluarganya.
“Saya rasa cukup saja untuk kami sekeluarga membeli beras, minyak, tepung dan keperluan lain. Saya harap bantuan ni berlanjutan pada masa yang akan datang,” katanya kepada Bernama.
Seorang suri rumah Norlinda Md Nor, 49, pula meluahkan raya syukur kerana bantuan itu dapat membantunya membuat persiapan menjelang Ramadan.
“Saya berterima kasih kepada kerajaan sebab bagi bantuan untuk memudahkan persiapan untuk menyambut bulan puasa nanti,” katanya.
Seorang pembantu jurutera, Kah Cun, 24, berharap kerajaan dapat memperbanyakkan jenis barangan yang boleh dibeli menggunakan bantuan itu.
“Bantuan ini bagus sebab dapat sebelum Tahun Baru Cina, boleh beli barang keperluan. Tetapi, kalau boleh guna untuk lebih banyak jenis barang lagi bagus,” katanya.
Seorang pelajar Pravind Muralidass, 23, berkata walaupun ada yang mempertikaikan bantuan itu, namun jumlah berkenaan mampu membantu membeli barangan keperluannya selama sebulan dan berharap ia dapat diteruskan pada setiap tahun.
"Pada saya, bantuan ini sangat membantu, khususnya sebagai seorang pelajar latihan industri, saya mempunyai banyak perkara yang perlu ditanggung. Jadi duit itu saya boleh beli barang keperluan harian.
"Saya berharap inisiatif ini dapat diteruskan pada setiap tahun untuk membantu golongan muda yang tinggal jauh daripada ibu bapa atau mungkin yang sudah tiada keluarga untuk bergantung," katanya.
Mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Maria Madelina Kiri, 23, pula berasa lega dan teruja kerana SARA RM100 dapat diguna pakai di kedai-kedai runcit di kawasan pedalaman.
"Bantuan SARA RM100 ini mungkin kelihatan sedikit pada mata orang lain tapi ada yang melihat jumlah ini cukup untuk membeli sekampit beras, perkara ini juga dapat bantu kita dalam persiapan perayaan yang bakal mendatang,” tambahnya.
-- BERNAMA