KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memperkukuh kesalinghubungan komunikasi, memperluas pembangunan infrastruktur digital negara serta memperkasakan masyarakat melalui teknologi dan inovasi menerusi Belanjawan 2026.
MCMC dalam kenyataan hari ini, memaklumkan suruhanjaya itu komited melaksanakan pelbagai inisiatif strategik yang diumumkan di bawah Belanjawan 2026 bagi memperkukuh ekosistem komunikasi dan multimedia negara serta memastikan rakyat menikmati manfaat teknologi secara inklusif dan seimbang di seluruh Malaysia.
Antara inisiatif di bawah Belanjawan 2026 ialah Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) dengan peruntukan RM2 bilion melibatkan pembinaan kabel dasar laut sepanjang 3,190 kilometer dari Johor ke Sabah dan Sarawak bagi memperkukuh kesalinghubungan dan capaian Internet negara.
Selain itu, peluasan liputan jalur lebar pula dilaksanakan melalui projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 ke 2,700 lokasi baharu khususnya di luar bandar dan pedalaman dengan peruntukan RM780 juta.
Sebanyak RM650 juta diperuntukkan untuk meningkatkan sambungan Internet di hospital awam dan klinik kesihatan bagi memperkukuh perkhidmatan kepada rakyat.
Menerusi Belanjawan 2026, MCMC menyediakan RM350 juta bagi memperkasakan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) melibatkan 1,099 pusat komuniti sebagai hab latihan dan keusahawanan dalam usaha membantu usahawan desa menjana pendapatan.
Selain itu, MCMC akan membangunkan Sistem Amaran Awal (EWS) bagi memperkukuh kesiapsiagaan negara dan melindungi rakyat dengan peruntukan RM210 juta.
MCMC juga akan membangunkan Sovereign AI Cloud dengan pelaburan sebanyak RM2 bilion bagi memperkukuh kedaulatan data negara yang selamat dan beretika.
“Inisiatif ini turut merangkumi penubuhan AI Transformation Centre bersama-sama Universiti Multimedia (MMU) serta Center of Excellence in Ethics for Emerging Technologies sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan kecerdasan buatan (AI).
“MCMC juga menyokong pelaksanaan model dwirangkaian 5G bagi memastikan kedua-dua rangkaian mencapai liputan 80 peratus menjelang 2026, sekali gus menyediakan perkhidmatan Internet lebih pantas dan mampu milik untuk rakyat serta perniagaan,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, MCMC akan memperluas Kempen Internet Selamat bagi meningkatkan kesedaran keselamatan siber dan penggunaan Internet beretika kepada seluruh lapisan masyarakat.
Menurut MCMC secara keseluruhan, inisiatif di bawah Belanjawan 2026 mencerminkan komitmen suruhanjaya untuk memperkukuh kesalinghubungan, meningkatkan kecekapan perkhidmatan komunikasi dan memastikan rakyat di seluruh negara menikmati manfaat pembangunan secara saksama.
-- BERNAMA