GEORGE TOWN, 11 Okt (Bernama) -- Langkah kerajaan menaikkan kadar duti eksais bagi produk rokok dan minuman beralkohol disifatkan sebagai satu permulaan baik ke arah mewujudkan masyarakat yang lebih sihat.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang Daniel Gooi Si Zen berkata usaha itu turut membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh dasar kesihatan awam serta mengurangkan beban rawatan penyakit kronik yang berpunca daripada tembakau dan minuman keras.
“Seperti mana diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hasil daripada kadar duti eksais ini akan disumbangkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tujuan pembangunan serta meningkatkan usaha membendung penyakit paru-paru, diabetes dan sebagainya.
“Selaku Exco Kesihatan, saya menyambut baik pendekatan itu kerana ia bukan sahaja dapat membantu mengurangkan tabiat buruk dalam kalangan rakyat, tetapi secara tidak langsung dapat memupuk budaya hidup sihat serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan,” katanya kepada Bernama.
Gooi berkata kadar itu dilihat memadai dalam memberikan pendidikan kepada masyarakat dan yakin dengan peningkatan hasil diperoleh daripada usaha berkenaan akan dapat memberi kesan positif kepada pembangunan kesihatan serta sukan negara.
Bagaimanapun beliau berharap sebahagian hasil kutipan itu dapat disalurkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk tujuan pembangunan sukan, sekali gus membudayakan aktiviti bersukan dalam kalangan masyarakat bagi mewujudkan rakyat yang sihat dan sejahtera.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) N. V. Subbarow berkata kenaikan duti eksais sebanyak 10 peratus bagi produk minuman keras dilihat memadai dalam mengurangkan pengambilan minuman keras seterusnya mengawal risiko penyakit berkaitan.
Beliau berkata dalam masa sama pihaknya menghargai langkah kerajaan menaikkan duti eksais ke atas produk rokok bermula bulan depan, namun mengesyorkan agar kadar yang diumumkan itu diteliti semula dengan mengambil kira kecenderungan perokok untuk tetap membeli meskipun harga bahan tembakau dinaikkan.
Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat semalam mengumumkan kadar duti eksais ke atas produk rokok dan minuman beralkohol dinaikkan bermula 1 Nov ini, dengan hasil tambahan itu disalurkan kepada KKM.