AM

DEEPAVALI: 2.67 JUTA KENDERAAN DIJANGKA GUNA LEBUH RAYA PADA HARI PUNCAK - LLM

11/10/2025 03:53 PM

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Sebanyak 2.67 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya utama pada hari-hari puncak sempena sambutan Deepavali pada 20 Okt ini, menurut Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM)

LLM dalam kenyataannya hari ini memaklumkan sebanyak 2.2 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya di bawah PLUS Malaysia Berhad (PLUS), manakala Lebuhraya KL-Karak dijangka mencatatkan 170,000 kenderaan, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (90,000), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (40,000) dan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (170,000).

“LLM menjangkakan peningkatan trafik di lebuh raya utama seawal Khamis, 16 Okt, bagi pengguna yang menuju ke arah Utara, Selatan dan Pantai Timur,” katanya.

Bagi mendepani peningkatan trafik, LLM mengarahkan kesemua syarikat konsesi lebuh raya untuk melakukan persediaan rapi agar perjalanan pengguna lebuh raya adalah selamat dan lancar.

Antara langkah diambil termasuk memastikan tiada penutupan lorong bermula 17 hingga 23 Okt kecuali bagi kerja kecemasan, mengaktifkan laluan ‘smart lane’ di 29 lokasi yang dikenal pasti di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), serta memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol.

LLM turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2026 semalam mengenai pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena sambutan Deepavali.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan