EKONOMI

KHAZANAH TINGKATKAN PELABURAN, GALAK KERJASAMA DALAM BIDANG KEUTAMAAN SEPERTI SEMIKONDUKTOR

11/10/2025 01:20 PM

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Khazanah Nasional Bhd akan terus menyokong agenda pelaburan strategik kerajaan dalam bidang keutamaan seperti semikonduktor, peralihan tenaga dan nadir bumi selain menggalakkan kerjasama antara syarikat tempatan dan rakan kongsi multinasional dalam sektor semikonduktor.

Pengarah Urusan Khazanah Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata bersama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) lain, usaha ini mencerminkan dorongan kolektif untuk memperkukuh pelaburan domestik di bawah inisiatif Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP).

“Melengkapkan usaha ini, Program Pembangunan Belia Khazanah (K-Youth) memperuntukkan RM200 juta untuk menyediakan latihan berasaskan kerja kepada 11,000 rakyat Malaysia dalam sektor bernilai tinggi, melengkapkan bakat tempatan untuk industri masa depan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) akan melabur RM550 juta dalam ekosistem semikonduktor untuk meningkatkan usaha sama firma tempatan dan syarikat multinasional.

Amirul Feisal berkata melalui Dana Impak dan Jelawang Capital, Khazanah melabur untuk memperluas peluang, membina keupayaan dan memupuk ekosistem inovasi Malaysia.

“Program Syarikat Pertengahan Khazanah akan menyediakan pembiayaan sehingga RM250 juta bagi membantu syarikat bersaiz sederhana berkembang dan meningkatkan daya saing dalam rantaian nilai,” katanya.

Pada Jumaat, Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM470 bilion, daripada jumlah itu peruntukan kerajaan adalah RM419.2 bilion.

Belanjawan yang mengangkat tema ‘Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat’ itu merupakan edisi keempat dalam siri Belanjawan MADANI dan yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan