GAZA, 11 Okt (Bernama-Xinhua) -- Para pengantara memaklumkan kepada Hamas bahawa lintasan sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir akan dibuka semula di kedua-dua arah minggu depan susulan pelaksanaan gencatan senjata dengan Israel, lapor Xinhua.
Sumber Hamas memberitahu saluran Al-Aqsa TV bahawa lintasan itu dijangka dibuka semula pertengahan minggu depan bagi membolehkan pergerakan keluar masuk ke wilayah berkenaan, namun tiada butiran lanjut diberikan mengenai operasi atau kategori individu yang dibenarkan melaluinya.
Menurut sumber itu, para pengantara turut memaklumkan bahawa bantuan kemanusiaan serta bekalan penting termasuk bahan api dan gas akan mula dibenarkan masuk ke Gaza secara bebas bermula Sabtu, selain perbincangan sedang dijalankan bagi memulihkan bekalan elektrik di wilayah yang menempatkan lebih dua juta penduduk itu.
Pengumuman dibuat selepas tentera Israel mengesahkan bahawa gencatan senjata dengan Hamas berkuat kuasa tengah hari Jumaat.
Tentera Israel berkata pasukannya telah berundur dan disusun semula mengikut garis baharu “selaras dengan perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tawanan.”
Susulan gencatan senjata itu, kira-kira 200,000 penduduk Palestin dilaporkan kembali ke utara Gaza, kata jurucakap Agensi Pertahanan Awam yang dikendalikan Hamas, Mahmud Bassal.
Beliau berkata penduduk mula bergerak ke utara selepas tentera Israel berundur dari beberapa kawasan, dan pasukan kemanusiaan kini membantu keluarga serta membuka semula jalan utama.
Saksi melaporkan pergerakan di sepanjang Jalan Al-Rashid dan Salah al-Din apabila ribuan orang berjalan atau memandu pulang ke kediaman masing-masing.
Gencatan senjata tercapai selepas beberapa hari rundingan di Mesir yang turut melibatkan pertukaran tahanan serta rancangan pembukaan semula lintasan sempadan dan kemasukan bantuan ke Gaza.
Di bawah perjanjian itu, Israel dijangka menghentikan pertempuran dan menarik balik sebahagian tenteranya dari Semenanjung Gaza, manakala Hamas akan membebaskan semua baki tawanan sebagai pertukaran bagi pembebasan kira-kira 2,000 tahanan Palestin.
-- BERNAMA-XINHUA