EKONOMI

STATUS ENTITI PERNIAGAAN ASEAN WUJUDKAN LEBIH BANYAK JAGUH ASEAN BERPANGKALAN DI MALAYSIA

11/10/2025 01:47 PM

Oleh Mikhail Raj Abdullah

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Langkah berani Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan status Entiti Perniagaan ASEAN (ABE) menerusi Belanjawan 2026 mencerminkan komitmen teguh beliau untuk memperkukuh integrasi serantau.

Pengenalan status ABE oleh Anwar, yang juga Menteri Kewangan, akan memberikan nilai sebenar kepada Malaysia sebagai pintu gerbang ke ASEAN.

Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Malaysia, Tan Sri Nazir Razak memuji langkah tersebut dan menyatakan harapan bahawa inisiatif itu akan mendorong lebih banyak Jaguh ASEAN untuk berpangkalan di Malaysia.

Status ABE yang istimewa itu akan membolehkan syarikat senaraian awam dan syarikat bersaiz sederhana mengembangkan operasi masing-masing di rantau Asia Tenggara.

“Perkara yang menggembirakan apabila menyaksikan Malaysia menerajui usaha memperkenalkan kerangka Entiti Perniagaan ASEAN (ABE),” katanya kepada Bernama hari ini.

Nazir, selaku Pengerusi ASEAN-BAC Malaysia, yang mula-mula mencadangkan ABE untuk menggalakkan penyepaduan serantau yang lebih kukuh.

Sudah pasti pengumuman itu merupakan satu langkah berani oleh pentadbiran kerajaan Malaysia yang dipimpin Anwar, yang kini Pengerusi ASEAN 2025.

“Walaupun penekanan awal ABE adalah untuk membolehkan aliran bakat di seluruh ASEAN namun, kerangka ini adalah sesuatu yang hebat kerana boleh berkembang untuk memudahkan aliran modal dan fungsi operasi merentas sempadan, tetapi masih dalam lingkungan syarikat,” katanya.

Nazir berkata status ABE akan mengurangkan “dis-synergies” bagi syarikat multinasional ASEAN di samping menggalakkan pembangunan rantaian bekalan intra-ASEAN.

“Dis-synergies” merujuk kepada keadaan apabila dua atau lebih syarikat bekerjasama tetapi prestasi keseluruhannya lebih buruk berbanding prestasi jika beroperasi secara berasingan.

“Kita berharap pencapaian ini akan mengorak laluan kepada lebih banyak Jaguh ASEAN untuk berpangkalan di Malaysia, dan seterusnya kerajaan negara anggota ASEAN lain akan mengambil langkah yang sama untuk membawa rantau ini lebih dekat ke arah menjadi pangkalan pengeluaran tunggal untuk perniagaan,” katanya.

Ketika membentangkan Belanjawan 2026, Anwar berkata kerajaan akan memperkenalkan status ABE yang diselaraskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk memudah cara pergerakan bakat mahir, sekali gus menyokong pertumbuhan syarikat Malaysia di ASEAN.

Beliau berkata status itu diberikan kepada syarikat senaraian awam yang memiliki jejak pasaran meluas di ASEAN dan syarikat pertengahan yang berpotensi mengembangkan operasi.

Pada Jumaat, Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM470 bilion, daripada jumlah itu peruntukan kerajaan adalah RM419.2 bilion.

Sebanyak RM338.2 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus (OE) manakala baki RM81 bilion sebagai perbelanjaan pembangunan (DE).

Belanjawan yang mengangkat tema ‘Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat’ itu merupakan edisi keempat dalam siri Belanjawan MADANI dan yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan