KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Redland USJ Summit Properties Sdn Bhd dan S&M Shopping Arcade Sdn Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama strategik untuk membangunkan projek Sinma Redland Mall di Bangunan Redland–Yayasan Selangor, Bukit Bintang, di sini.
Redland USJ Summit Properties dalam kenyataan hari ini berkata projek pusat beli-belah baharu itu dijangka menjadi pemangkin pembangunan semula kawasan berkenaan dan hab pelancongan serta perdagangan baharu di ibu kota, dengan jangkaan lebih sejuta pengunjung pada hujung minggu dan sekitar 500,000 orang pada hari biasa..
"Penandatanganan MoU ini merupakan langkah permulaan bagi merealisasikan visi Sinma Redland Mall untuk berkembang lebih jauh, termasuk merancang untuk membuka 10 lagi cawangan di sekitar segi tiga emas Bandaraya Kuala Lumpur pada masa hadapan," menurut kenyataan berkenaan.
Katanya kerjasama itu juga menjadi simbol kolaborasi dinamik antara sektor swasta dan agensi Kerajaan Negeri Selangor serta cerminan komitmen bersama untuk membangunkan hab perniagaan yang mampan dan berdaya saing di tengah-tengah ibu kota.
Redland USJ Summit Properties adalah syarikat berpengkalan di Selangor yang terlibat dalam aktiviti hartanah serta penganjuran acara langsung manakala S&M Shopping Arcade adalah syarikat pegangan pelaburan dan hartanah yang memiliki lebih 40 peratus ruang niaga di Berjaya Times Square Kuala Lumpur.
-- BERNAMA