AM

BELANJAWAN 2026 DIATUR DENGAN DISIPLIN FISKAL CERMAT, RAKYAT TERUS TERBELA - DR ZALIHA

10/10/2025 09:22 PM

PUTRAJAYA, 10 Okt (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata Belanjawan 2026 diatur dengan disiplin fiskal yang cermat, namun tetap memastikan rakyat terus terbela daripada cabaran kos hidup yang mencengkam.

Beliau berkata menerusi tatakelola yang baik oleh Kerajaan MADANI, setiap hasil negara dapat diurus dengan lebih telus dan berkesan, dengan manfaatnya dipanjangkan kepada rakyat secara lebih bersasar. 

“Belanjawan 2026 turut merangkumi pelbagai inisiatif bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan pertumbuhan ekonomi di tiga Wilayah Persekutuan. Alhamdulillah dan insya-Allah, kita akan gerakkan kesemuanya ini demi rakyat Wilayah Persekutuan,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat dengan tema “Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat” melibatkan peruntukan RM419.202 bilion yang dijangka memacu pertumbuhan ekonomi negara serta memastikan kekayaan negara dinikmati secara saksama oleh semua golongan masyarakat.

Menerusi hantaran itu, Dr Zaliha berkata antara inisiatif diumumkan bagi Wilayah Persekutuan ialah RM200 juta bagi Program Lestari Niaga untuk peniaga kecil Kuala Lumpur dan pengukuhan pelancongan di Labuan melalui program Labuan 365 (RM3.5 juta).

Turut diumumkan ialah penganjuran program Putrajaya Wave 2026 (RM1 juta) dan menaik taraf Anjung Duta@15 di Presint 15, Putrajaya (RM500,000).

Beliau berkata ia juga disokong dengan perencanaan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) bagi Wilayah Persekutuan antaranya pemuliharaan Sungai Gombak dari Kampung Sungai Mulia sehingga ke Kolam Takungan Banjir Puah di Kuala Lumpur, pemuliharaan sungai untuk mengurangkan risiko banjir di Kuala Lumpur dan Labuan serta pembinaan Waterfront Labuan Fasa 1.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan