AM

GERAN RM50 JUTA TINGKAT KETERHUBUNGAN UDARA, DIJANGKA TARIK LEBIH RAMAI PELAWAT-- MAHB

10/10/2025 08:33 PM

PUTRAJAYA, 10 Okt (Bernama) -- Peruntukan sebanyak RM50 juta dalam geran padanan bagi menggalakkan penerbangan antarabangsa dan penerbangan sewa khas ke Malaysia dijangka meningkatkan keterhubungan global selain menarik lebih ramai pelawat ke negara ini.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Mohd Izani Ghani berkata kumpulan itu mengalu-alukan keutamaan berterusan kerajaan terhadap pembangunan infrastruktur dan peningkatan keterhubungan udara di bawah Belanjawan 2026.

"Sokongan untuk pelaksanaan kemudahan Pemindahan Antara Terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur atau Pemindahan Udara KUL serta naik taraf di lapangan terbang di Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Tawau dan Miri selain penambahbaikan di Lapangan Terbang Berlepas dan Mendarat Jarak Pendek (STOLport) seperti Marudi dan Redang akan mengukuhkan kesiapsiagaan rangkaian lapangan terbang Malaysia.

"Penambahbaikan itu terutamanya sebagai persiapan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Izani berkata sokongan kerajaan terhadap pembangunan Selangor Aero Park (SAP) sebagai hab logistik serantau bersama-sama dengan pengaktifan semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah sebagai hab industri aeroangkasa akan mempercepatkan pertumbuhan ekosistem penerbangan.

Katanya, perkara ini akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab penerbangan utama serantau.

Beliau menambah sejak penswastaan MAHB awal tahun ini, syarikat memberi tumpuan kepada tiga teras strategik iaitu perkhidmatan, pertumbuhan dan kapasiti.

Menurutnya, pada 2025, pihaknya mencatatkan kemajuan berterusan dalam pembangunan infrastruktur lapangan terbang termasuk penyelesaian naik taraf di Lapangan Terbang Ipoh yang meningkatkan kapasiti kepada 700,000 penumpang setahun.

"Pengembangan Lapangan Terbang Kota Bharu pula dijadualkan siap pada 2026 dengan kapasiti sehingga empat juta penumpang setahun.

"Pada masa yang sama, penambahbaikan ketara dalam keterhubungan udara termasuk kemasukan 10 syarikat penerbangan baharu mencerminkan keyakinan yang berterusan terhadap kedudukan Malaysia sebagai hab penerbangan utama di rantau ini," katanya.

Mohd Izani menegaskan komitmen MAHB iaitu menyokong pertumbuhan ekonomi dan pelancongan negara melalui pembangunan lapangan terbang yang moden, cekap serta kompetitif.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemerkasaan MAHB akan membuka ruang pelaburan yang lebih besar serta memperkukuh kecekapan pengurusan lapangan terbang negara.

Beliau berkata langkah tersebut selaras dengan aspirasi kerajaan bagi memastikan sistem pengangkutan udara negara berada pada tahap terbaik sekali gus meningkatkan daya saing Malaysia sebagai hab penerbangan dan logistik serantau.

“MAHB berjaya menyiapkan pembesaran Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Perak dan kini sedang dalam proses memperluas Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu, Kelantan.

“Sebanyak RM2.3 bilion juga dilaburkan bagi pembangunan lapangan terbang di Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Tawau dan Miri yang dijangka siap pada 2028,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata selain itu, projek menaik taraf STOLport di Marudi dan Redang dijangka siap pada 2027 manakala kemudahan Pemindahan Antara Terminal iaitu antara KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 bakal dilaksanakan bagi mempertingkat keterhubungan penumpang di kompleks lapangan terbang antarabangsa berkenaan.

“Kerajaan negeri Selangor bersama MAHB turut membangunkan SAP seluas 242.811 hektar di Sepang sebagai hab logistik dan kargo serantau.

“Pembangunan ini bukan sahaja akan memperkukuh ekosistem penerbangan negara tetapi juga menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi ke Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan