KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Kerajaan menyediakan peruntukan berjumlah RM2.2 bilion sebagai langkah pencegahan banjir jangka panjang bagi meneruskan pelaksanaan 43 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB), termasuk 12 RTB baharu yang mula dilaksanakan tahun hadapan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau ketika membentangkan Belanjawan 2026 berkata antara RTB yang terlibat ialah RTB Sungai Mengkibol, Mukim Kluang, Kluang, Johor; RTB Sungai Chaah, Segamat, Johor; RTB Sungai Temin/Bata, Kubang Pasu, Kedah; RTB Sungai Lenggeng, Seremban, Negeri Sembilan dan RTB Sungai Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan.
“Selain itu RTB Sungai Jimah Fasa 2, Port Dickson, Negeri Sembilan; RTB Sungai Si Rusa, Port Dickson, Negeri Sembilan; RTB Sungai Nyiur, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang; RTB Sungai Trong, Larut, Matang dan Selama, Perak; RTB Sungai Buloh Fasa 2, Selangor; RTB Sungai Buaya, Kuala Nerus, Terengganu dan RTB Anak Sungai Ibai, Kuala Terengganu, Terengganu,” katanya.
Anwar berkata pada masa sama kerja-kerja pencegahan lain turut dilaksanakan bagi mengelakkan bencana dengan lebih RM260 juta diperuntukkan bagi mencegah, menyelenggara dan membaiki cerun seluruh negara termasuk Jalan Persekutuan selain RM55 juta untuk membersih dan menaik taraf longkang dan parit di semua pihak berkuasa tempatan (PBT).
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata langkah segera diambil untuk membangunkan semula bangunan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, Kota Kinabalu yang rosak dan daif dengan peruntukan sebanyak RM220 juta.
“Saya turut luluskan RM39 juta projek tebatan banjir fasa kedua dan segera membina semula satu blok sekolah yang terkesan banjir di Inanam, Sabah,” katanya.
Anwar berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menerima RM460 juta pada tahun hadapan sebagai persiapan menghadapi bencana selain menambah 10 kompleks tandas lengkap dengan bekalan air bersih di Pusat Pemindahan Sementara, dengan kemudahan itu juga boleh dimanfaatkan murid sekolah pada bila-bila masa.
“Kerajaan Persekutuan juga membenarkan semua kerajaan negeri menggunakan dana MARRIS (Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia) bagi memperoleh Jambatan Panel Keluli Bermodular (Bailey Bridge) dan melaksanakan kerja-kerja pembesaran longkang dan parit di jalan negeri yang rosak, terlalu kecil dan tidak selamat,” katanya.
Perdana Menteri berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyediakan RM210 juta untuk membangunkan Sistem Amaran Awal (EWS) bagi memperkukuh kesiapsiagaan bencana dan krisis, sekali gus mengurangkan risiko kepada nyawa serta harta benda.
“Sementara itu, GLC Demi Rakyat dan Negara (GDRN) melalui geran padanan RM20 juta akan terus membantu kebajikan mangsa yang terjejas bencana,” katanya.
-- BERNAMA