AM

BELANJAWAN 2025: LEBIH RM580 JUTA PERHEBAT PEMBANGUNAN SUKAN DI MALAYSIA

10/10/2025 06:42 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Kerajaan terus memperhebat pembangunan sukan negara dengan penyaluran peruntukan lebih RM580 juta menerusi Belanjawan 2026, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Menteri Kewangan itu berkata peruntukan berkenaan merangkumi pemerkasaan sukan berprestij tinggi termasuk program Road to Gold dan persediaan Temasya Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 di Malaysia.

Peruntukan itu juga membabitkan pemerkasaan atlet para dan sukan orang pekak; penyelenggaraan, pembaikan kemudahan belia dan sukan seluruh negara serta menaik taraf padang sekolah Kementerian Pendidikan seluruh negara.

"Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini lebih bermakna apabila gandingan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta Pearly Tan-Thinaah Muraliharan melakar sejarah, beregu campuran dan wanita pertama yang meraih kejayaan pada Kejohanan Badminton Dunia.

"Lebih manis, kita juga membawa pulang 25 emas, 16 perak, 11 gangsa dan dinobat selaku juara keseluruhan Sukan SEA Pekak 2025,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Latif Romly yang sekali lagi memecahkan rekod sendiri dan meraih emas dalam acara lompat jauh pada Kejohanan Olahraga Para Dunia.

"Tepukan paling gemuruh untuk semua wira dan wirawati bangsa yang telah mengharumkan nama Malaysia dan menjulang Jalur Gemilang di pentas dunia," katanya.

Bagi menggalakkan aktiviti pembangunan sukan negara, Anwar berkata kerajaan bersetuju membenarkan organisasi yang diluluskan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk menggunakan sebahagian daripada pendapatan diterima bagi menjalankan aktiviti sukan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan