KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- BMI, unit Fitch Solutions, mengekalkan unjuran harga minyak mentah Brent pada purata tahunan US$68 setong bagi 2025 dan US$67 setong bagi 2026, turun daripada US$80 setong pada 2024.(US$1 = RM4.21).
BMI menerusi ulasan terbarunya bertajuk “Weekly Commodities Strategy: Brent Indicators Show Little Sign of Oversupply So Far” (Strategi Komoditi Mingguan: Petunjuk Brent Tidak Begitu Menunjukkan Lebihan Bekalan Setakat ini"), berkata jangkaan peningkatan mendadak bekalan minyak mentah tidak menyebabkan harga jatuh lebih rendah.
Pengumuman OPEC+ untuk meningkatkan sasaran pengeluaran November sebanyak 137,000 tong sehari menyokong pengurangan ketara sekatan pengeluaran sepanjang 2025.
Minyak mentah Brent meningkat 1.4 peratus daripada minggu sebelumnya, dengan pasaran kekal neutral terhadap jangkaan kenaikan output kerana penunjuk utama kekal seimbang.
"Harga Brent ketika ini berada pada US$66 setong, paras lebih tinggi daripada yang kami jangkakan, yang boleh membawa kepada risiko sederhana kepada unjuran tahun ini, tetapi kami menjangkakan lebihan meningkat pada suku akan datang, mendorong harga menjadi lebih rendah," kata BMI.
Menurutnya, inventori kekal stabil dan seimbang, dengan kuantiti minyak mentah terapung hanya 2.1 peratus melebihi purata lima tahun walaupun peningkatan 21 peratus baru-baru ini, mencerminkan cuaca lebih sederhana di Timur Tengah, yang mengurangkan penggunaan minyak mentah untuk penjanaan kuasa dan memperuntukkan lebih banyak bekalan untuk eksport.
BMI berkata, stok minyak mentah Eropah dan Amerika Syarikat (AS) juga sejajar dengan purata sejarah, manakala ekonomi AS terus menunjukkan daya tahan walaupun dasar perdagangan yang tidak menentu.
BMI telah menyemak semula unjuran pertumbuhan pengeluaran cecair AS kepada 0.6 peratus bagi 2025 daripada 2.3 peratus sebelumnya.
-- BERNAMA