AM

ZAKAT MAINPP KUTIP RM122 JUTA SETAKAT SEPTEMBER

02/10/2025 09:09 PM

BUKIT MERTAJAM, 2 Okt (Bernama) -- Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mencatat kutipan zakat berjumlah RM122 juta dari Januari hingga September tahun ini, kata Yang Dipertuanya Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang berkata daripada jumlah itu, RM19 juta merupakan zakat perniagaan oleh 429 syarikat dan angka itu boleh ditingkatkan sekiranya lebih banyak syarikat tampil menunaikan kewajipan.

"Kami di Zakat MAINPP menyasarkan kutipan (keseluruhan) sebanyak RM200 juta tahun ini dan RM240 juta pada 2026,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berjumlah RM100,000 di sini hari ini.

Mohamad yang juga Pengerusi Zakat MAINPP berkata zakat perniagaan bukan beban sebaliknya pelaburan akhirat dan kunci kelestarian perniagaan yang berkat, malah jika lebih banyak syarikat tampil menunaikan zakat, ia akan dapat melahirkan masyarakat sejahtera dan memperkukuh ekonomi umat Islam.

“Zakat perniagaan yang ditunaikan PBAPP hari ini memberi cerminan jelas bagaimana institusi zakat mampu menjadi pemacu pembangunan umat, bukan sahaja dalam bentuk kebajikan, tetapi juga melalui inisiatif ekonomi dan pendidikan,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata RM199.8 juta dana zakat diperuntukkan untuk diagihkan kepada asnaf setakat bulan lepas untuk pelbagai inisiatif termasuk bantuan kewangan, pendidikan, pembangunan ekonomi serta program kebajikan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk K. Pathmanathan berkata usaha PBAPP menunaikan zakat perniagaan digerakkan sendiri oleh Mohamad yang menyuarakan keperluan itu kepada pihak pengurusan memandangkan syarikat berkenaan adalah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.

Beliau berkata dalam kalangan kakitangan PBAPP sendiri, sebanyak 1,233 orang atau 80.3 peratus beragama Islam dan zakat yang dibayar itu mencatat sejarah sebagai kali pertama syarikat berkenaan menunaikan kewajipan berkenaan sejak dikorporatkan pada 1999.

"Majlis pada hari ini bukan sekadar simbolik penyerahan malah melambangkan nilai tanggungjawab, keprihatinan dan kebersamaan dalam membangunkan masyarakat," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan