AM

SULTAN KELANTAN BERKENAN BERANGKAT KE MAJLIS RAJA BERSAMA RAKYAT

01/10/2025 09:29 PM

KOTA BHARU, 1 Okt (Bernama) – Sultan Kelantan Sultan Muhammad V hari ini berkenan berangkat ke majlis Raja Bersama Rakyat sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-56 di Dataran Stadium Sultan Muhammad IV di sini.

Keberangkatan baginda bersama Sultanah Kelantan Sultanah Nur Diana Petra Abdullah disambut meriah sebaik tiba di stadium berkenaan pada 6.15 petang.

Majlis itu dimeriahkan dengan pelbagai persembahan tradisional Kelantan sejurus keberangkatan baginda berdua.

Pada majlis itu, baginda turut berkenan mengurniakan hadiah kepada wakil-wakil sekolah terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kelantan serta Anugerah Pengakap Diraja kepada pengakap remaja yang terpilih.

Kira-kira 1,500 rakyat hadir bagi meraikan majlis penuh istiadat yang turut dihadiri Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan