KOTA KINABALU, 30 Sept (Bernama) -- Sabah kini memiliki dua tapak rizab biosfera susulan pengiktirafan diberikan kepada Kinabatangan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata pengiktirafan di bawah program Manusia dan Biosfera (MAB) itu menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memelihara kelestarian alam sekitar dan biodiversiti di peringkat global.
Beliau berkata dengan pengiktirafan peringkat global itu, rizab biosfera Kinabatangan dijangka menarik perhatian antarabangsa dalam bidang penyelidikan, pendidikan, pelancongan berasaskan alam semula jadi serta peluang kerjasama di peringkat global.
“Kerajaan Negeri Sabah akan terus memperkukuh usaha pemuliharaan biodiversiti. Meluaskan kesedaran masyarakat dan meningkatkan perkongsian strategik untuk memastikan manfaat pengiktirafan ini dapat direalisasikan secara meluas dan mampan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Hajiji berkata Jemaah Menteri Sabah telah meluluskan hasrat untuk mencalonkan Kinabatangan sebagai rizab biosfera pada 30 Mac 2022 dan dokumen pencalonan diluluskan pada 7 Ogos 2024.
“Proses pemilihan yang berlangsung selama dua tahun dari 2022 hingga 2024, diketuai Pusat Biodiversiti Sabah dengan kerjasama strategik pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, pihak industri serta komuniti tempatan.
"Pengiktirafan berprestij ini diumumkan semasa Sesi ke-37 Majlis Penyelarasan Antarabangsa Program MAB yang diadakan pada 27 Sept di Hangzhou, China,” katanya.
Menerusi pengiktirafan berkenaan, Kinabatangan kini menjadi rizab biosfera kedua di Sabah dan keempat di Malaysia, selepas UNESCO secara rasmi mengiktiraf Banjaran Crocker pada 12 Jun 2014.
Rizab biosfera Kinabatangan meliputi kawasan seluas 413,866 hektar dan merupakan khazanah semula jadi yang kaya dengan biodiversiti unik serta warisan budaya tidak ternilai.
Meliputi jarak sejauh 560 kilometer (km) di sepanjang Sungai Kinabatangan, kawasan berkenaan menjadi habitat penting bagi 315 spesies burung, 100 spesies reptilia, 33 spesies amfibia, 127 spesies mamalia dan lebih 1,000 spesies tumbuhan vaskular.
Kawasan berkenaan juga merupakan habitat bagi beberapa spesies endemik, jarang dijumpai dan terancam seperti Orang Utan, gajah Borneo, monyet probosis, beruang matahari, harimau dahan serta lapan spesies burung enggang asli Sabah.
Terdapat 759 rizab biosfera di 136 negara di seluruh dunia.
-- BERNAMA