IPOH, 29 Sept (Bernama) -- Politeknik Ungku Omar (PUO) menganjurkan julung kali 1st International Congress on Green Engineering and Sustainable Development (ICGESD 2025), sebuah kongres berprestij yang menghimpunkan lima persidangan antarabangsa dalam satu platform.
Kongres hibrid selama dua hari bermula hari ini itu dianjurkan bagi meneroka solusi inovatif terhadap cabaran global dalam bidang alam sekitar, teknologi dan pembangunan lestari.
Bertemakan “Sustainable Development: Bridging Engineering and Innovation”, ICGESD 2025 menampilkan gabungan disiplin ilmu yang unik dan holistik.
Lima persidangan yang digabungkan ialah International Conference on Smart Cities Development (ICoSCiD), International Conference on Green Technology in Mechanical and Marine Engineering (GTiMME), International Conference on Emerging Technologies, Information Sciences and Mathematics (ICETISM), International Conference on Digital Economy and Sustainable Social Development (ICoDESSD 2025) serta International Conference on Electrical Engineering and Smart Solutions (ICEESS).
Pengarah PUO Dr Salmi Che Meh berkata kongres berkenaan mencerminkan komitmen PUO sebagai institusi TVET terkemuka dalam merealisasikan agenda kelestarian negara.
“PUO berpegang kepada dasar pendidikan TVET yang menyeluruh dan berteraskan kelestarian sebagai asas utama membentuk masa depan hijau.
“Kami menyokong penuh Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) seperti Pendidikan Berkualiti (SDG 4), Tenaga Bersih (SDG 7) dan Tindakan Iklim (SDG 13),” katanya ketika ditemui selepas perasmian kongres itu yang disempurnakan Timbalan Pengarah (Penyelidikan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Dr Siti Rosminah Md Derus.
Dr Salmi berkata sebagai platform ilmu dan jaringan profesional yang inklusif, ICGESD 2025 turut membuka ruang kepada semua lapisan masyarakat termasuk ahli akademik, pelajar, penggiat industri dan orang awam untuk berinteraksi serta berkongsi pengetahuan.
Kongres itu menerima 275 kertas penyelidikan yang mewakili penyertaan dari enam negara.
“Diharapkan kongres ini memperkukuh kedudukan PUO sebagai peneraju pendidikan teknikal dan hab TVET unggul di Asia Tenggara, selari dengan hala tuju ekonomi hijau dan digital negara,” katanya.
Sementara itu, PUO dalam kenyataan memaklumkan penganjuran kongres ini adalah hasil kerjasama strategik dengan 20 rakan kolaborasi daripada pelbagai latar belakang institusi akademik, industri dan pertubuhan bukan kerajaan.
Antara rakan strategik yang terlibat termasuk Universitas Negeri Malang, Politeknik Negeri Jakarta, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Persatuan Pencinta Teknologi Hijau Malaysia (MGTS), Green Safe Cities (GreSafe), Universiti Teknologi MARA, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, CIDB E-Construct Services Sdn Bhd, Persatuan Seniman Seni Digital Malaysia, Prestige Geomatic Resources, ALLTERRA (M) Sdn Bhd, Lembaga Juruukur Tanah Malaysia dan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
-- BERNAMA