KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjunjung kasih kepada Presiden Pahang Rangers FC, Tengku Arif Temenggong Tengku Fahad Mua’adzam Shah Sultan Ahmad Shah atas sokongan tidak berbelah bahagi kepada skuad futsal negara dalam menghadapi saingan Kumpulan G, Kelayakan Piala Asia Futsal 2026.
Pusingan kelayakan tersebut yang bermula 20 Sept lepas hingga semalam di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan, Pahang menyaksikan Malaysia berjaya melayakkan diri ke Piala Asia Futsal 2026 yang akan diadakan di Indonesia, Januari depan.
Pemangku Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata kejayaan penganjuran kejohanan berprestij di peringkat Asia itu tidak dapat direalisasikan tanpa kerjasama Tengku Fahad sendiri selaku Presiden PRFC dan Ahli Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM.
“Bagi pihak Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM dan warga sekretariat FAM, patik menjunjung kasih kepada Al-Sultan Abdullah (Sultan Pahang Sultan Abdullah Al-Mustafa Billah Shah) dan Tengku Fahad yang mana Kelayakan Piala Asia Futsal 2026 di SUKPA berlangsung dengan jayanya,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan FAM hari ini.
Mohd Yusoff berkata penganjuran pusingan Kelayakan Piala Asia Futsal 2026 di Kuantan itu telah membuktikan bahawa Malaysia, khususnya Pahang, mampu menjadi tuan rumah yang cemerlang dengan penganjuran bertaraf antarabangsa.
“Sepertimana yang dikatakan Tengku Fahad, ini membuktikan status SUKPA sebagai antara venue atau gelanggang futsal terulung, seterusnya mengetengahkan Kuantan sebagai hab sukan,” katanya.
Malaysia menamatkan saingan Kumpulan G selaku naib juara kumpulan sekali gus menempah tiket ke pentas Piala Asia Futsal 2026.
-- BERNAMA