BALIK PULAU, 3 Sept (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang mendapatkan bantuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri bagi menjalankan pengesahan biometrik terhadap kanak-kanak yang diselamatkan dalam satu operasi khas di Bukit Mertajam di sini Julai lepas.
Pengarah JKM Pulau Pinang Rozita Ibrahim berkata ia bagi membolehkan pihaknya mengesahkan identiti dan latar belakang kanak-kanak itu serta keluarga mereka.
"Kebanyakan dokumen kanak-kanak yang kita selamatkan dalam operasi khas itu ada yang lengkap dan ada yang tiada namun semuanya perlu disahkan oleh pihak JPN Pulau Pinang.
''Buat masa ini, JPN Pulau Pinang telah membuat pengesahan biometrik manakala pihak forensik pergigian dari beberapa hospital juga terlibat untuk menentukan umur kanak-kanak berkenaan,'' katanya selepas merasmikan projek akuaponik pintar solar di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Teluk Bahang di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan 10 kanak-kanak lelaki dan 10 kanak-kanak perempuan termasuk seorang bayi berusia 15 hari diselamatkan JKM Pulau Pinang dalam Op Abai dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia di sebuah gudang di kawasan kilang dan sebuah rumah yang dijadikan pusat pembelajaran tidak berdaftar.
Sebahagian daripada kanak-kanak itu tidak mempunyai penjaga sah dan dipercayai tidak menerima keperluan asas mencukupi sekali gus dikategorikan sebagai kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan di bawah Seksyen 17 Akta Kanak-Kanak 2001.
Mengulas lanjut, Rozita berkata pihaknya juga ketika ini masih menjalankan siasatan terperinci dan dalaman mengikut skop bidang tugas agensi itu di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) berhubung kes membabitkan kanak-kanak.
Beliau berkata pihaknya telah mendapatkan Perintah Jagaan Interim untuk kesemua kanak-kanak itu selama dua bulan hingga 22 Okt depan selepas tamat tempoh Perintah Jagaan Sementara pada 22 Ogos lepas.
"Langkah itu perlu bagi melengkapkan laporan termasuk semakan latar belakang keluarga serta pengesahan dokumen pengenalan diri oleh pihak berkuasa berkaitan," katanya.
Beliau berkata 18 kanak-kanak kini berada di bawah jagaan JKM dalam keadaan selamat dan mengikuti pelbagai program pemulihan oleh jabatan itu manakala seorang wanita bersama bayinya dibebaskan untuk tinggal di lokasi lain.
''Ada ibu bapa yang mula tampil menuntut anak mereka namun kita belum dapat lepaskan kerana tidak pasti sama ada benar mereka ibu bapa kandung, malah ada kanak-kanak yang langsung tidak pernah mengenali ibu bapa mereka,'' katanya.
-- BERNAMA