KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah daripada Universiti Tsukuba sebagai menghargai sumbangan baginda dalam bidang pendidikan, penyelidikan, pertukaran antarabangsa dan sukan.
Turut berangkat pada istiadat penganugerahan itu Tengku Ampuan Pahang Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Presiden Universiti Tsukuba Kyosuke Nagata.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Duta Jepun ke Malaysia Shikata Noriyuki.
Al-Sultan Abdullah, dalam titah baginda menzahirkan penghargaan atas penganugerahan itu yang bukan sahaja sebagai menghargai sumbangan dalam bidang sukan dan pendidikan tetapi juga lambang persahabatan dan kepercayaan antara Malaysia dan Jepun.
“Ia satu penghormatan dan hadirnya saya di sini untuk menerima ijazah kehormat yang sungguh berprestij itu. Saya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada presiden, warga fakulti dan semua yang hadir untuk anugerah yang begitu bermakna,” titah baginda.
Sultan Pahang bertitah baginda pernah mengadakan perbincangan dengan bekas Perdana Menteri Jepun mendiang Shinzo Abe pada 2019 mengenai kemungkinan menubuhkan kampus Universiti Tsukuba di Malaysia, visi yang akhirnya menjadi realiti dengan pembukaan kampusnya di Kuala Lumpur pada 2024.
Al-Sultan Abdullah bertitah pendidikan menjadi asas kepada pembinaan masyarakat yang lebih kukuh, adil dan berdaya tahan, serta penubuhan Universiti Tsukuba Malaysia mengeratkan lagi hubungan Malaysia dan Jepun dalam bidang teknologi serta pendidikan selain menjadi mercu tanda kerjasama untuk generasi masa hadapan.
Baginda turut menzahirkan harapan supaya universiti berkenaan terus melakar kecemerlangan, dan persahabatan Malaysia-Jepun semakin erat melalui pendidikan sebagai pemacu kemajuan serta keharmonian global.
Sementara itu, Nagata dalam sembah ucapannya berkata Al-Sultan Abdullah telah memberikan sumbangan yang amat penting kepada kestabilan negara dengan menjadi teladan kepemimpinan ketika menyandang jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Beliau berkata komitmen Sultan Pahang terhadap pendidikan tinggi jelas dapat dilihat melalui peranan baginda sebagai Canselor Universiti Kuala Lumpur, Universiti Automotif Malaysia DRB-Hicom dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah.
Nagata juga merakamkan penghargaran atas sumbangan Al-Sultan Abdullah dalam arena bola sepak antarabangsa termasuk sebagai Naib Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (2002-2015) dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FIFA (2015-2019), selain kerjasama dengan alumni Universiti Tsukuba Kozo Tashima dalam memajukan sukan berkenaan di Asia.
Beliau berkata pada Julai lepas, senat universiti itu sebulat suara bersetuju dengan penganugerahan berkenaan sebagai menghargai sumbangan Al-Sultan Abdullah dalam penubuhan kampus Malaysia.
-- BERNAMA