AM

PM ANWAR RAI SULTAN BRUNEI DALAM JAMUAN TENGAH HARI

27/08/2025 03:38 PM

PUTRAJAYA, 27 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menjadi tuan rumah majlis santapan tengah hari rasmi di Seri Perdana bagi meraikan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, bersama delegasi baginda.

Sultan Hassanal Bolkiah dan rombongan tiba di kediaman rasmi Perdana Menteri pada 11.25 pagi dan disambut mesra oleh Anwar.

Mengiringi baginda ialah Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah bersama menteri-menteri Kabinet Brunei serta pegawai kanan kerajaan negara itu.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Terdahulu, Anwar dan Sultan Hassanal Bolkiah mengadakan pertemuan bagi membincangkan usaha memperkukuh lagi hubungan dua hala selain menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam bidang kesihatan.

Sultan Hassanal Bolkiah mengadakan Lawatan Negara selama tiga hari bermula 25 Ogos hingga hari ini atas undangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Lawatan negara ini merupakan yang ketiga oleh ketua negara asing ke Malaysia sejak Sultan Ibrahim menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, selepas menerima lawatan Presiden China dan Presiden Indonesia.

Pada 2024, Brunei merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia dalam ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM7.53 bilion (USD1.77 bilion).

Bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, jumlah dagangan Malaysia-Brunei mencecah USD690 juta (RM3.02 bilion), meliputi eksport sebanyak USD500 juta (RM2.18 bilion) dan import USD190 juta (RM840 juta).

 

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan