EKONOMI

AMIR HAMZAH BERI KERJASAMA BAIK DALAM PROSIDING PAC ISU PENSWASTAAN MAHB

11/07/2025 02:34 AM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung isu penjualan saham dan penswastaan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), hari ini.

Ahli PAC Sim Tze Tzin berkata prosiding yang berlangsung berjalan lancar dengan Amir Hamzah menjawab semua pertanyaan yang dikemukakan jawatankuasa dengan baik dan telus.

"Prosiding baru sahaja selesai. Sekarang kami akan teliti laporan penuh. Secara keseluruhan, prosiding berjalan dengan baik dan Datuk Seri Amir Hamzah sangat responsif serta menjawab semua soalan yang diajukan," katanya ketika dihubungi malam ini.

Sementara itu, Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin menerusi hantaran di Facebook memaklumkan sesi bersama Amir Hamzah merupakan prosiding ketujuh yang dijalankan PAC sepanjang minggu ini.

"Prosiding hari ini berlangsung selama dua jam 35 minit," katanya ringkas.

Mas Ermieyati turut memaklumkan kenyataan rasmi berhubung prosiding berkenaan akan dikeluarkan esok.

Terdahulu, beliau menjelaskan pemanggilan Amir Hamzah adalah sebahagian daripada prosiding berterusan PAC berkaitan pengurusan lapangan terbang awam yang melibatkan Kementerian Kewangan, MAHB, Khazanah Nasional Berhad serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sepanjang minggu ini, PAC telah mengadakan enam prosiding melibatkan enam saksi utama, termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif MAHB Raja Azmi Raja Nazuddin; Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Investment Bank Berhad (HLIB) Lee Jim Leng; dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) Datuk Nik Amlizan Mohamad.

Tiga lagi yang turut dipanggil ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Datuk Abdul Rahman Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Fad’l Mohamed; serta Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Datuk Zain Azhari Mazlan, yang hadir mewakili Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan