AM

RUSIA, AS BERBINCANG SECARA SUBSTANTIF, TERUS-TERANG MENGENAI ISU UKRAINE, IRAN DAN SYRIA 

10/07/2025 11:53 PM

Oleh Rohani Ibrahim

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Rusia dan Amerika Syarikat (AS) telah mengadakan perbincangan secara “substantif dan terus-terang” mengenai penyelesaian isu membabitkan Ukraine, Iran dan Syria. 

Kenyataan Kementerian Luar Rusia memaklumkan perkara ini susulan pertemuan dua hala antara Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov dan Setiausaha Negara AS Marco Rubio di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan di sini pada Khamis.

Menurut kenyataan itu, susulan persetujuan yang dicapai oleh Presiden Rusia Vladimir Putin dan rakan sejawatnya Presiden Donald Trump, termasuk semasa perbualan telefon mereka pada 3 Julai lepas, kedua-dua pemimpin mengkaji semula semua isu dalam agenda dua hala selain situasi global.

“Mereka telah mengesahkan komitmen bersama bagi mencari penyelesaian aman bagi konflik yang berlaku serta menyambung semula kerjasama ekonomi dan kemanusiaan Rusia-AS termasuk hubungan tanpa halangan antara masyarakat kedua-dua negara yang boleh dipertingkat menerusi penerbangan terus.

“Mereka turut menekankan kepentingan usaha berterusan bagi menormalkan operasi misi diplomatik dua hala,” menurut Kementerian Luar Rusia dalam kenyataan di laman sesawangnya.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa kedua-dua pihak telah bersetuju meneruskan dialog konstruktif mengenai pelbagai isu yang semakin bertambah yang berkepentingan bersama berdasarkan sikap saling menghormati antara pejabat dasar luar Rusia dan AS.

Lavrov dan Rubio kini berada di ibu negara Malaysia bagi menghadiri mesyuarat peringkat menteri yang dipimpin ASEAN termasuk Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar ASEAN, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN bagi Sidang Kemuncak Asia Timur ke-15 dan Forum Serantau ASEAN ke-32 yang dijadualkan berlangsung pada 10 dan 11 Julai. 

AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan