KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio berkata negara itu berusaha mencari penyelesaian damai di Ukraine menerusi rundingan yang membina dengan Rusia.
Beliau berkata Presiden Donald Trump yang kecewa dengan konflik berlarutan di Ukraine, komited untuk menamatkan peperangan, memandangkan ia sebagai sesuatu yang mahal, berdarah dan akhirnya satu pembaziran nyawa dan juga masa.
Oleh itu, beliau berkata AS akan terus terlibat dalam setiap cara yang produktif untuk membantu menamatkan peperangan yang sedang berlaku.
“(Menteri Luar Rusia) Sergey Lavrov membentangkan satu konsep baharu, bukan semestinya pendekatan baharu terhadap Ukraine, yang akan saya sampaikan kepada Presiden. Ia tidak secara automatik membawa kepada keamanan, tetapi berpotensi membuka jalan ke arah penyelesaian,” katanya kepada pemberita pada Khamis.
Terdahulu, Rubio bertemu Lavrov di sela-sela Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM), di sini.
Rubio menyifatkan pertemuan itu sebagai “produktif, membina dan jujur”.
Sementara itu, Rubio berkata AS komited untuk meningkatkan kerjasama strategik dan ekonomi di Indo-Pasifik, khususnya di Asia Tenggara.
Beliau menyifatkan mesyuarat tiga hala baru-baru ini dengan Jepun dan Filipina sebagai “cemerlang”, dan memperbaharui komitmen bersama terhadap keselamatan maritim, integriti wilayah dan pembangunan koridor ekonomi.
“Kami bekerja rapat dengan Jepun dan Filipina, dan terus memperkukuh kerjasama itu. Kami juga menantikan kunjungan Presiden Filipina ke Washington dalam masa terdekat,” katanya.
Menekankan kepentingan rantau ini, Rubio berkata lebih 6,000 syarikat AS telah melabur di Asia Tenggara, menyifatkan rantau ini sebagai “bahagian termuda dari segi demografi dunia” dengan potensi pertumbuhan yang besar.
Sejarah abad ke-21 akan tercatat di Indo-Pasifik, terutamanya Asia Tenggara. Kami telah membina hubungan ini selama beberapa dekad dan kami tidak akan mensia-siakannya, malah kami akan memperluaskannya,” katanya.
AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan, yang diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” menyaksikan 24 mesyuarat peringkat menteri melibatkan Rakan Dialog ASEAN dan Rakan Dialog sektoral.
Mesyuarat peringkat tinggi yang berlangsung selama empat hari itu menghimpunkan kira-kira 1,500 perwakilan termasuk Menteri-Menteri Luar ASEAN, Timor-Leste, Rakan Dialog ASEAN, peserta Forum Serantau ASEAN (ARF), Rakan Dialog Sektoral serta para pegawai kanan Sekretariat ASEAN.
-- BERNAMA