AM

PPKK ANYAMAN ROTAN LAHIRKAN USAHAWAN KRAF PERLIS

10/07/2025 11:00 PM

KANGAR, 10 Julai (Bernama) -- Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) Anyaman Rotan di Kampung Sempering di sini menjadi antara inisiatif melahirkan usahawan kraf tempatan baharu yang berpotensi menjana pendapatan, sekali gus menyokong industri pelancongan negara.

Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) Datuk 'Ainu Sham Ramli berkata komuniti kraf baharu yang aktif dan berdikari — sama ada menjadikan kraf tangan sebagai sumber pendapatan utama mahupun sampingan — berpotensi dilahirkan menerusi pelaksanaan program itu.

“Peserta program ini berjaya menghasilkan produk anyaman rotan seperti tudung saji yang menampilkan identiti negeri, antaranya menerusi penggunaan warna biru dan kuning yang sinonim dengan Perlis.

“Kita berharap produk ini dapat dijadikan buah tangan kepada pelancong dalam dan luar negara, malah diangkat ke peringkat nasional, selari dengan persiapan menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan PPKK Anyaman Rotan di Kampung Sempering, hari ini.

Beliau berkata program itu dilaksanakan dalam tiga fasa, bermula fasa pertama pada 22 hingga 24 Disember lalu, diikuti fasa kedua pada 15 hingga 17 April, manakala fasa ketiga bermula 7 Julai hingga hari ini.

Sepanjang program, peserta diberi bimbingan dan tunjuk ajar oleh dua usahawan anyaman rotan berpengalaman menerusi aktiviti Makmal Pembangunan dan Pengeluaran Produk Kraf Anyaman Rotan.

 'Ainu Sham berkata program berkenaan juga dilaksanakan bersempena Program Santuni MADANI: Satu Pemimpin Satu Kampung, yang memberi fokus kepada pembangunan komuniti serta keperluan sosioekonomi setempat.

Mengulas perkembangan industri, beliau berkata hampir 7,000 usahawan kraf berdaftar dengan Kraftangan Malaysia ketika ini, dengan jumlah tertinggi direkodkan di Sabah, Sarawak dan negeri-negeri di Pantai Timur.

“Di Perlis sahaja, terdapat seramai 85 usahawan kraf aktif yang menghasilkan pelbagai produk berasaskan kemahiran tempatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan