PUTRAJAYA, 10 Julai (Bernama) -- Karya sastera bermutu tinggi wajar diangkat sebagai landasan penting dalam pembinaan tamadun bangsa dan bukannya dilihat sebagai sekadar pencapaian dua tahun sekali, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2021/2022 hari ini, Fadhlina menegaskan karya sastera bukan sahaja mencerminkan sejarah dan pemikiran rakyat tetapi juga menjadi sebahagian daripada proses pendidikan generasi muda, terutama melalui teks Komponen Sastera (KOMSAS) di sekolah.
“Karya yang memenangi HSPM ini telah diangkat sebagai teks KOMSAS dan akan menjadi bahan penting dalam memperkenalkan sastera yang bermutu kepada anak-anak kita,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh, Sasterawan Negara yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Anwar Ridhwan, Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad dan Ketua Pengarah DBP merangkap Pengerusi Panel HSPM 2021/2022 Dr Hazami Jahari.
Sejajar dengan usaha mengangkat HSPM ke tahap lebih tinggi, Fadhlina turut menyatakan hasrat membawa sebahagian besar pemenang ke Nibong Tebal, Pulau Pinang, bagi program pengisian bersama masyarakat yang merangkumi diskusi karya dan persembahan lagu puisi.
“Saya ingin menjemput pemenang HSPM ke Nibong Tebal, Pulau Pinang iaitu Parlimen saya, untuk satu acara khas menghargai mereka. Di situ kita akan kembali mempopularkan lagu puisi dan diskusi karya,” katanya.
Dalam sidang media kemudiannya, beliau berkata Kementerian Pendidikan juga sedang mempertimbangkan usaha mendigitalisasikan karya yang diiktiraf supaya dapat diakses oleh seluruh masyarakat.
“Saya fikir itu antara usaha yang sentiasa kita pertimbangkan berdasarkan keadaan zaman. Dalam masa yang sama, ia memerlukan komitmen besar daripada semua pihak untuk memastikan apa juga cara atau teknologi yang digunakan, karya itu tetap asli, bermutu dan mampu memartabatkan sastera di sini,” katanya.
Sementara itu, Hazami memaklumkan 3,555 penyertaan diterima bagi empat kategori utama HSPM iaitu Kategori Buku/Kumpulan Karya dengan 165 penyertaan, Kategori Karya Eceran (3,203), Kategori Sastera Kanak-kanak (129) dan Kategori Sastera Remaja (58).
“Kita turut menyaksikan kemunculan penulis muda yang berjaya bersaing dengan nama besar seperti Sasterawan Negara dan penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award),” katanya sambil memaklumkan 50 karya dipilih sebagai pemenang bagi HSPM kali ini.
Pada majlis itu, Kategori Buku/Kumpulan Karya dimenangi oleh Praset Eh Chai menerusi kategori novel, Prof Madya Mawar Safei (kumpulan cerpen), Rudi Mahmood (kumpulan puisi), Prod Madya Abdul Rahman Napiah atau Mana Sikana (esei/kritikan sastera), Prof Azhar Wahid (kajian sastera) manakala Abd Rahim Abdullah (biografi/autobigrafi/memoir).
Semua pemenang menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan sijil.
-- BERNAMA