AM

ASEAN PERLU ATASI CABARAN GLOBAL BERSAMA-SAMA - MENTERI LUAR THAILAND

10/07/2025 10:18 PM

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 10 Julai (Bernama) -- ASEAN perlu berkolaborasi rapat bagi memperkukuh perdagangan dalam kalangan negara anggotanya serta mempertingkat kerjasama bagi menangani landskap politik dan ekonomi global yang semakin kompleks, kata Menteri Luar Thailand Maris Sangiampongsa.

Beliau berkata selain kerjasama antara kerajaan, sektor swasta turut memainkan peranan penting dalam mengatasi kesemua cabaran.

"Dalam keadaan dunia yang semakin kompleks daripada segi landskap politik dan ekonomi global, saya ingin menegaskan bahawa ASEAN perlu bekerjasama dalam mendepani kesemua cabaran ini khususnya dengan memperkukuh perdagangan dalam kalangan negara anggota ASEAN kerana kita mewakili pasaran gabungan hampir 700 juta penduduk," katanya menerusi hantaran di platform X pada Khamis.

Maris juga berkata negara anggota ASEAN perlu berganding bahu bagi memperkukuh kerjsama dalam kalangan komuniti perniagaan serantau.

Beliau berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan termasuk Sesi Pleno dan Sesi Pemukiman AMM yang bermula pada Selasa lepas.

Semasa Sesi Pleno, Maris berkata negara anggota ASEAN bertukar-tukar pandangan mengenai usaha memperkukuh dan memupuk Komuniti ASEAN yang lebih padu.

"Saya juga menekankan ancaman jenayah rentas sempadandi rantau kita terutama penipuan secara dalam talian yang menjejaskan usaha pembinaan komuniti ASEAN.

“Sehubungan itu, saya menggesa ke arah kerjasama serantau yang lebih kukuh bagi mengatasi kesemua ancaman ini dengan lebih berkesan," katanya.

Menyentuh mengenai sesi pemukiman, Maris berkata perbincangan memfokus kepada usaha mengukuhkan lagi perpaduan ASEAN dan bagi Thailand, ini termasuk meneruskan pendekatan kolektif ASEAN terhadap situasi di Myanmar.

"Mesyuarat mengakui kepentingan pelaksanaan gencatan senjata di Myanmar selain menganjurkan lawatan bersama oleh Menteri-Menteri Luar dan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, bersama-sama Indonesia dan Filipina yang juga Pengerusi 2026, dalam beberapa bulan akan datang, meneroka lebih banyak cara untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan," katanya.

Beliau turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan Setiausaha Negara Norway Andreas Kravik.

Maris berkata perbincangan turut memfokus kepada memperkukuh kerjasama dua hala khususnya dalam perdagangan dan pelaburan yang mungkin turut membabitkan dana kekayaan Norway, yang terbesar di dunia, untuk melabur dalam projek Jambatan Darat Thailand.

"Norway adalah peneraju global dalam peralihan tenaga hijau, yang boleh dipelajari Thailand bagi membantu sektor swasta negara bergerak ke arah karbon sifar bersih," katanya.

AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan, yang diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, menyaksikan 24 mesyuarat peringkat menteri membabitkan Rakan Dialog ASEAN serta Rakan Dialog Sektoral.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan