KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yakin langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan memberi kesan positif kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata KUSKOP mengalu-alukan pengumuman BNM semalam mengenai penurunan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus.
“Saya amat yakin ini akan memberi kesan positif kepada usahawan PMKS,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Wisma Co-Opbank Pertama (CBP) di sini, hari ini.
Seiring penurunan OPR, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) turut menurunkan kadar siling dan lantai bagi koridor OPR masing-masing kepada tiga peratus dan 2.5 peratus.
OPR merupakan kadar rujukan bagi pinjaman antara bank dan lazimnya mempengaruhi kadar faedah pinjaman pengguna.
Penurunan OPR kebiasaannya akan mendorong kos pinjaman lebih rendah sekali gus memberi ruang kepada usahawan dan syarikat untuk memperluas operasi dan memperkukuh aliran tunai.
Menyentuh mengenai tarif import sebanyak 25 peratus dikenakan terhadap Malaysia bermula 1 Ogos ini di Amerika Syarikat (AS), Ewon berharap agar rundingan antara kerajaan Malaysia dan AS berkaitan perkara itu akan memberi sokongan berterusan kepada PMKS.
“Mudah-mudahan perbincangan terkait dengan tarif yang masih dirundingkan dengan kerajaan AS dan insiatif lain yang kita teruskan dalam negara ini akan dapat memberi sokongan berterusan kepada usahawan PMKS di negara ini untuk terus menyumbang kepada ekonomi negara kita,” katanya.
-- BERNAMA