KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Sidang Kemuncak Keselamatan ASEAN 5G dan Teknologi Operasi (OT), yang dianjurkan oleh Digital Nasional Bhd (DNB) bersama CyberSecurity Malaysia (CSM), akan diadakan pada 15 hingga 17 Julai 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Menteri Digital Gobind Singh Deo dijadual merasmikan sidang kemuncak itu pada 15 Julai.
Acara yang julung kali diadakan itu turut dijangka menarik kehadiran 2,000 peserta dari 14 negara.
Ketua Pegawai Eksekutif DNB Datuk Azman Ismail berkata kalangan peserta itu merangkumi 500 delegasi antarabangsa, selain pengawal selia dan pegawai dari negara ASEAN.
Acara itu juga akan menghimpunkan pakar global dalam bidang keselamatan siber dan kecerdasan buatan (AI), bersama tokoh utama dari sektor teknologi maklumat (IT) dan keselamatan OT.
“Matlamat utama penganjuran acara ini adalah untuk berkongsi risiko yang dihadapi ramai pihak berkaitan keselamatan siber, selain meneroka langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil.
“Saya berpendapat isu ini bukan hanya dihadapi Malaysia, sebaliknya merupakan cabaran global,” katanya pada sidang media selepas sesi taklimat sidang kemuncak berkenaan di sini hari ini.
Menurut Azman, sidang kemuncak itu turut mengalu-alukan penyertaan pelajar universiti dan syarikat pemula bagi menyumbang idea inovasi serta pembangunan baharu untuk memperkukuh kawalan keselamatan siber di rantau ini.
-- BERNAMA