NIBONG TEBAL, 10 Julai (Bernama) -- Sebanyak 4,105 individu yang selesai menjalani hukuman dan berjaya dipulihkan sejak 2020 hingga kini, telah kembali ke alam pekerjaan menerusi inisiatif padanan kerjaya anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata lima sektor utama yang mencatat pengambilan tertinggi untuk menyokong integrasi semula golongan itu ke dalam masyarakat ialah sektor pembuatan, pembinaan, pertanian, perkhidmatan makanan serta perdagangan borong dan runcit.
Beliau berkata usaha memperkasakan golongan rentan termasuk prospek atau bekas banduan melalui penyediaan peluang pekerjaan seiring dengan matlamat mengurangkan kebergantungan negara terhadap tenaga kerja asing.
“Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2024, jumlah guna tenaga di Malaysia kini mencecah 16.78 juta orang, dengan lebih 2.3 juta atau 13.7 peratus daripadanya terdiri daripada pekerja asing.
“Hal ini mencerminkan keperluan mendesak untuk memanfaatkan tenaga kerja tempatan secara lebih inklusif dan menyeluruh, termasuk menghargai potensi bekas banduan sebagai penyumbang produktiviti kepada masyarakat dan ekonomi,” katanya kepada wartawan selepas merasmikan Karnival Kerjaya dan Keusahawanan MYFutureJobs di Kompleks Penjara Seberang Perai, di sini hari ini.
Sim berkata karnival itu merupakan karnival berskala besar yang diadakan buat kali kedua, hasil kerjasama strategik dan sinergi antara Kementerian Sumber Manusia melalui PERKESO dengan Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Penjara Malaysia.
Beliau berkata sebelum ini, ia dilaksanakan di Zon Tengah, iaitu di Penjara Kajang pada 2024 dengan penyertaan 350 prospek manakala tahun ini, sebanyak 600 prospek melibatkan 550 prospek lelaki dan 50 prospek wanita dari Zon Utara merangkumi Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis menyertai Karnival Kerjaya Sinergi bersama Jabatan Penjara.
Katanya, penganjuran kali ini melibatkan 20 majikan yang menawarkan 1,080 kekosongan jawatan, dengan disertai sembilan agensi awam dan swasta yang menyediakan bantuan dan program keusahawanan kepada prospek.
Beliau turut berkongsi kejayaan pelaksanaan program Daya Kerjaya sejak diperkenalkan pada 2020 yang menyaksikan 549 majikan memberikan penempatan kerja kepada 2,604 prospek dengan penyaluran dana insentif melebihi RM12 juta.
Mengulas lanjut, Sim berkata dasar rangsangan pasaran buruh aktif yang menyediakan insentif RM600 sebulan selama tiga bulan kepada majikan yang menawarkan pekerjaan kepada prospek turut dilihat sebagai menghargai bakat tempatan, selain menyokong usaha integrasi semula dalam masyarakat.
Terdahulu, PERKESO turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama enam persatuan industri utama, iaitu Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) dan Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA), Persatuan Peruncit Malaysia (MRA), Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA), Persekutuan Persatuan Syarikat Kereta dan Kredit Malaysia (FMCCAM) dan Balai Ikthisas Malaysia (BIM).
Sim menyifatkan MoU berkenaan bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada bekas banduan yang telah menjalani pemulihan dan latihan sekali gus membantu mereka membina semula kehidupan secara bermaruah.
Turut hadir Komisioner Jeneral Penjara Datuk Abdul Aziz Abdul Razak, Pengerusi Lembaga PERKESO Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
-- BERNAMA