PUTRAJAYA, 10 Julai (Bernama) -- Jabatan Perikanan (DOF) menyemak semula kelulusan melibatkan bot kenka dan pertukaran zon susulan pendedahan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) terdapat ketidakpatuhan dalam proses kelulusan itu.
Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata DOF turut mengambil beberapa langkah segera memperkemas garis panduan teknikal serta memperkukuh semakan silang dan audit dalaman.
DOF mengambil maklum teguran EAIC berkaitan proses kelulusan bot kenka dan pertukaran zon serta mengalu-alukan dapatan itu sebagai asas penambahbaikan dalam memperkukuh tadbir urus serta perlaksanaan dasar perikanan negara.
“Teguran EAIC akan dijadikan panduan penambahbaikan. Jabatan tidak akan berkompromi terhadap sebarang kelulusan yang bercanggah dengan dasar.
“Kami komited untuk menyemak semula semua proses bagi memastikan ketelusan dan pematuhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihaknya melaksanakan semakan semula terhadap kelulusan bagi memastikan sebarang kelemahan ditangani secara sistematik dan berkesan.
“Sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan mengurus sumber perikanan negara, jabatan bertanggungjawab memastikan sumber ini diurus secara lestari, berintegriti dan memberi manfaat kepada negara serta komuniti nelayan,” katanya.
DOF akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan tindakan pembetulan dapat dilaksanakan secara menyeluruh, berlandaskan dasar, integriti tadbir urus dan kepentingan negara.
Sebelum ini, EAIC mendedahkan berlaku ketidakpatuhan dalam proses kelulusan permohonan pertukaran hak milik bot kenka serta permohonan pertukaran zon oleh DOF.
EAIC memaklumkan perkara itu diperoleh menerusi siasatan aduan terhadap DOF berkaitan tindakan meluluskan permohonan berkenaan yang tidak mematuhi syarat dan pekeliling pelesenan serta bercanggah dengan dasar perikanan sedia ada.
-- BERNAMA