AM

STRATEGI 2040 AUSTRALIA PERKUKUH HUBUNGAN PERDAGANGAN, PELABURAN DENGAN ASIA TENGGARA

10/07/2025 01:35 PM

Oleh Muhammad Faiz Baharin

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Strategi Ekonomi Asia Tenggara Australia hingga 2040 menjadi tonggak komitmen baharu negara itu dalam memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala dengan rantau Asia Tenggara, yang dijangka menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2040.

Menteri Luar Australia Penny Wong berkata usaha memperkukuh penglibatan dengan Asia Tenggara, khususnya melalui usaha membina semula kepercayaan dan memperdalam kerjasama, kini menjadi keutamaan kerajaan negara itu di bawah kepimpinan Perdana Menteri Anthony Albanese.

“ASEAN memainkan peranan penting dalam kestabilan serantau, menjadi benteng kepada konflik dan memperkukuh peraturan serta norma yang melindungi kita,” menurutnya dalam kenyataan pada Khamis.

Sambil menekankan bahawa Australia merupakan Rakan Dialog pertama ASEAN dan Rakan Strategik Komprehensif, beliau turut menghargai sumbangan penting blok itu kepada aspirasi Australia bagi rantau ini.

Wong juga berkata sempena ulang tahun ke-70 kehadiran diplomatik Australia di Malaysia, beliau berhasrat untuk bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan bagi membincangkan langkah mengukuhkan lagi hubungan ekonomi, strategik serta rakyat dengan rakyat antara kedua-dua negara.

Beliau turut mengulangi sokongan padu Australia terhadap Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dan berkata tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ mencerminkan nilai serta matlamat bersama kedua-dua negara.

Wong juga menegaskan bahawa beliau akan mengulangi komitmen Australia untuk bekerjasama dengan ASEAN dalam pencegahan konflik serta sokongan padu terhadap multilateralisme, perdagangan berasaskan peraturan dan undang-undang antarabangsa semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur dan Forum Serantau ASEAN yang dijadualkan esok.

Beliau menghadiri Mesyuarat Pasca Persidangan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Sesi itu dipengerusikan oleh Menteri Luar Indonesia Sugiono dan turut dihadiri Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan, Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn selain Menteri-Menteri Luar blok tersebut serta Timor-Leste.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan